Himpunan Berjaya Sekalipun Polis Diserang Histeria

Perhimpunan Mansuhkan ISA dianggap berjaya oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila lebih 100 ribu berhimpun di ibu negara hari ini walaupun mereka tidak berjaya berarak ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum akibat sekatan tegar polis.

Dalam sidang media bersama pemimpin Pakatan Rakyat dan GMI di pejabat agung PAS, Anwar berkata, tindakan tegar polis menghalang perarakan ke Istana Negara menyebabkan peserta perhimpunan berselerakan di seluruh ibu negara.

Turut serta berada di ibu negara adalah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Sebahagian besar peserta perhimpunan pula berhimpun di tiga tempat iaitu Sogo, Masjid Jamek dan Pasar Seni. Namun mereka tidak berjaya berkumpul sekali untuk berarak ke istana kerana sekatan tegar polis.

Mereka hanya berjaya berkumpul sekejap di depan Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut untuk mendengar sedikit ucapan pimpinan Pakatan sebelum disembur air dan gas oleh polis.

Anwar berkata, memorandum 10 tuntutan akan dihantar ke istana Negara apabila suasana mengizinkan.

Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyatakan pihak polis telah menggunakan tindakan melampau disamping provokasi jahat mereka yang mana tanpanya, perhimpunan yang berlaku sebenarnya adalah di dalam suasana aman.

Naib presiden PAS Salehuddin Ayub merakamkan ucapan terima kasih kepada semua rakyat yang menyertai perhimpunan anti-ISA dan menyatakan sasaran 100,000 berjaya dihimpunkan. Kita berjaya menghantar signal kepada kerajaan UMNO BN tentang suara rakyat terhadap penentangan mereka terhadap ISA.

Seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyeru polis supaya membebaskan semua demonstran yang ditahan tanpa syarat kerana menentang undang-undang ISA yang zalim bukan merupakan satu kesalahan malah merupakan satu kewajipan.

Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh menegaskan sekalipun kita tidak dapat menyerahkan Deklarasi Anti-ISA kepada Yang Dipertuan Agong, namun beliau yakini bahawa rakyat telah dapat berhimpun dan kita boleh berhimpun secara aman.

Sementara itu sewaktu sidang media diadakan di pejabat PAS pihak polis telah berusaha memecahkan pintu Pejabat Agung Pas dalam usaha menahan pimpinan Pakatan Rakyat, demikian lapor TVA.

Suasana di luar ibupejabat parti pembangkang terbesar di Malaysia itu bagaikan medan perang. Bunyi siren polis, trak FRU ke hulu ke hilir dan gas masih lagi menebal di udara.

Beberapa anggota polis cuba membuka pintu ibu pejabat, namun gagal. Mereka akhirnya beredar. Walaupun begitu, trak meriam air FRU yang melintasi hadapan ibupejabat Pas masih menembak-nembak air kimia ke pintu kaca ibupejabat Pas.


No comments

Powered by Blogger.