Kenyataan Media : Magaran Alih Isu Setelah Gagal Bawa ‘Armada’

Kenyataan Media
Kelab Anwar Ibrahim (AIC)

Kelab Anwar Ibrahim (AIC) menyifatkan gesaan Majlis Gabungan NGO Pembela Negara (Magaran) ke atas kerajaan untuk menahan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat di bawah akta zalim ISA adalah satu usaha mengalihkan pandangan rakyat ke atas kegagalan mereka.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tuan Guru Dato Seri Abdul Hadi Awang, YB Lim Kit Siang, dan Pengerusi Gerakan Mansuh ISA (GMI) dinamakan Magaran sebagai dalang penganjuran perhimpunan aman pada Sabtu lepas. Anggaran rawak seramai 80,000 individu yang hadir di ibu kota menunjukkan betapa kempen mansuhkan ISA mendapat dukungan rakyat meskipun berhadapan dengan provokasi terlampau pihak polis.

Sebaliknya, Magaran yang gagal mengumpulkan hatta seratus penyokong kelihatan cuba berlaku defensif dengan menggesa pimpinan Pakatan Rakyat dan Pengerusi GMI ditahan di bawah ISA. Jika justifikasi Magaran ini relevan, maka Magaran juga seharusnya ditahan di bawah ISA kerana turut sama mengajak penyokong-penyokong mereka untuk berhimpun di Masjid Negara, Padang Merbok, dan Pasar Seni pada hari yang sama sepertimana yang telah dihebahkan sebelum ini.

Alasan bahawa ‘keganasan terancang’ dianjurkan oleh GMI adalah satu tuduhan yang sangat dangkal. Tidak ada seorangpun demonstran yang ditahan dilihat membawa apa-apa senjata yang memungkinkan keganasan tercetus, sebaliknya pihak polislah yang begitu rakus melepaskan gas pemedih mata kepada para demonstran sehingga ada yang tercedera.

Harus juga diingat bahawa tangkapan telah dibuat seawal jam 8 pagi, malah dibuat secara rawak sehingga mengakibatkan ada kalangan remaja dan warga emas yang tertangkap tanpa sebarang asas yang kukuh. Perhimpunan ini berjalan dengan aman, khususnya di bawah kawalan keselamatan Unit Amal PAS, tetapi provokasi pihak polislah yang mengakibatkan berlakunya kesesakan lalulintas bila mana laluan masuk ke ibu kota dihadang sehingga menyukarkan pergerakan keluar masuk kenderaan.

Magaran jangan sesekali menafikan bahawa impak daripada puluhan ribu yang berkumpul Sabtu lepas adalah satu manifestasi jelas bahawa rakyat menolak ISA tanpa sebarang kompromi. Magaran juga harus sedar dan bersikap matang bahawa ISA telah diselewengpakai sebagai political tool demi melampiaskan percaturan politik pihak tertentu. Ia jelas bertentangan dengan Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia 1948, malah jelas bertentangan dengan kaedah fiqhiyyahdalam sistem syariat Islam.

AIC berharap agar Magaran tidak berterusan menyeleweng fakta dan mempertahankan ketidakadilan melalui pelaksanaan ISA. Tidak dinafikan keselamatan negara adalah mauduk utama yang dijunjung di setiap bahu rakyat Malaysia, tetapi ia sama sekali tidak boleh dijadikan rasional agar kezaliman berterusan dihalalkan dalam sistem undang-undang negara ini.

Noor Lailatul Marini
Timbalan Presiden
Kelab Anwar Ibrahim
4 Ogos 2009

No comments

Powered by Blogger.