Pelajar percaya 10 lelaki baru dikenali terima padah

PETALING JAYA: Akibat terlalu percayakan lelaki yang baru dikenali, seorang pelajar dirogol 10 rakan lelaki bergilir-gilir ketika mengikutnya ke sebuah rumah di Desa Mentari, dekat sini, baru-baru ini.

Bagaimanapun, mangsa yang berusia 14 tahun berjaya melepaskan diri sebelum dia menceritakan kejadian terbabit kepada ibunya lima hari kemudian kerana takut dimarahi.

Menurut sumber polis, hasil laporan, polis menyerbu sebuah rumah di kawasan itu dan menahan seorang lelaki berusia 20-an bagi membantu siasatan.

“Bagaimanapun, 10 lagi lelaki yang didakwa merogol mangsa tidak berada di rumah itu dan polis kini memburu semua mereka.

“Polis menyiasat kes ini mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, dalam satu kejadian berasingan, rahsia seorang pelajar sering murung ketika dalam kelas terbongkar apabila guru kelasnya mendapati pelajar itu menjadi mangsa rogol enam lelaki.

Menurut sumber, pelajar berkenaan yang berusia 14 tahun dilihat sering murung ketika dalam kelas dan menimbulkan tanda tanya kepada gurunya.

“Guru terbabit terkejut apabila pelajarnya itu mengaku yang dia menjadi mangsa rogol pada Februari dan Jun lalu di dua lokasi berasingan.

“Sejurus mendengar pengakuan itu, guru terbabit memanggil ibu bapa pelajar berkenaan dan mangsa sekali lagi mengakui di depan ibu bapanya yang dia pernah menjadi mangsa rogol,” katanya.

Menurut sumber, selepas berbincang bersama keluarga dan gurunya, pelajar terbabit membuat laporan polis, Sabtu lalu.

“Mangsa mendakwa dia pernah menjadi mangsa rogol seorang lelaki dan masih mengingati lokasi dan dapat mengecam wajah suspek.

“Namun, dalam satu lagi kejadian rogol membabitkan lima lelaki, mangsa mendakwa langsung tidak ingat lokasi dia dibawa sebelum itu,” katanya.

Berikutan itu, polis menahan seorang suspek berusia lingkungan 20-an di sebuah rumah di Damansara Damai bagi membantu siasatan. -Mymetro

No comments

Powered by Blogger.