Peniaga bodoh jual arak di kawasan majoriti Islam - Khalid

SHAH ALAM 12 Ogos - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini melabelkan pengusaha premis perniagaan yang menjual arak di kawasan majoriti Islam sebagai bodoh.

Beliau berkata, mereka sepatutnya menjual minuman keras di kawasan yang mempunyai pasaran pembeli.

''Kalau masih jual juga mereka bodohlah. Takkan nak jual nasi lemak di kawasan orang yang makan keju," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Rang Undang-Undang Perkhidmatan Negeri Selangor (Selesa) 2009 di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keputusan kerajaan negeri yang membenarkan penjualan arak di kawasan majoriti Islam dengan meminta premis perniagaan menguatkuasakan konsep kawalan sendiri.

Menjawab soalan sama, Abdul Khalid menjelaskan, beliau tidak bermaksud menggalakkan orang Islam membeli arak tetapi menyerahkan sepenuhnya kepada pemilik premis untuk menguatkuasakan kawalan penjualan sendiri.

Beliau juga meminta kerjasama Pas untuk mencari kawasan majoriti Islam yang masih ada premis arak.

''Jadi tugas rakan-rakan kita dalam Pas ialah pergi cari tempat yang dia fikir tak betul (kawasan majoriti Islam yang ada jual arak) dan kita akan bincang.

''Tapi jangan cari di Jalan Chow Kit," katanya.

No comments

Powered by Blogger.