PRK Permatang Pasir : Peluru Pertama Dilepaskan.

Oleh: PakBelalang

"Gendang sudah dipalu. Semboyan telah dibunyikan. Pas mulakan serangan sebaik sahaja pengumuman calon untuk PRK Permatang Pasir diisytiharkan oleh SPR pagi tadi (17 Ogos 2009). UMNO belum membalas serangan pertama Pas itu menjadikan setakat ini kemenangan moral berpihak kepada Pas. Serangan pertama di awal-awal peperangan akan meningkatkan kemaraan pada pusingan seterusnya.

Umpama satu perlawanan akhir bola sepak. Pasukan yang menjaringkan gol di minit-minit awal memperolehi semangat yang tinggi untuk meneruskan perlawanan dan permainan akan menjadi semakin rancak.

Tajuk utama 'The Star Melayu' hari ini; "Ahli Umno Tak Akan Masuk Syurga - Nik Aziz". Umpama Jeneral mengetuai Batalion Perang, TGNA terus melancarkan perang saraf ke atas Umno. Kenyataan yang meletakkan Umno mesti mencari hujah untuk menafikan serangan TGNA tadi.

Saya tidak ingin mengulas maksud kenyataan TGNA dari sudut agama kerana dengan kedudukan Mursyidul Am, TGNA mempunyai hujah kukuh untuk menjawab persoalan ini. Apa yang ingin disentuh di sini ialah bagaimana TGNA dengan segera melakukan serangan ketika Umno masih mengatur strategi dan lokasi yang sesuai untuk serangan. Saya percaya kata-kata ini keluar secara spontan dari lidah beliau apabila berhadapan dengan wartawan.

Seperti mana pada PRK Manek Urai, TGNA menggemparkan kem Umno apabila mengeluarkan kenyataan Umno sama seperti 'komunis' dan 'ajaran Ayah Pin'. Ketika itu seluruh media milik Umno BN menggempur Pas atas kenyataan TGNA itu. Tidak ada isu lain dimainkan Umno selain menabur fulus dan isu pembangunan ke atas pengundi Manek Urai. Habis saja PRK Manek Urai isu tadi tenggelam dan Umno BN pula diam. TGNA pula masih boleh tersenyum bersama 'orang nombor satu Umno'.

Kini PRK Permatang Pasir datang lagi. Dengan taktik yang sama TGNA mengganyang Umno. Saya percaya isu ini akan berkumandang semula, media Umno BN menggempur sehabis-habisnya. Melanyak sekuat-kuatnya dari pelbagai sudut. Akan keluarlah fatwa dan hukum daripada cendikiawan dan cendawan Umno. Habis semua mufti atau tok guru upahan memproses otak dan mengunyah air liur menangkis dakwaan ini dan mencipta senjata baru menyerang Pas.

Selesai sahaja PRK Permatang Pasir, semua senyap sunyi semula. Bila hadirnya Aidil Fitri masing-masing tersenyum menghulur tangan memohon kemaafan. Inilah uniknya politik. Politik Melayu.

Selamat berjuang sehingga titisan darah terakhir. Permatang Pasir harus kekal di tangan Pas. Dengan Umno kita berlawan, kepada ALLAH SWT kita mohonkan kemenangan.
"

No comments

Powered by Blogger.