PULAU PINANG: Maaf ini kerusi PAS!

Sehubungan itu, Timbalan Pesuruhjaya I PAS Pulau Pinang, Dr. Mujahid Yusof Rawa menegaskan Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu menghormati dasar yang dibuatnya sendiri mengenai status quo kerusi pilihan raya sebelum membuat cadangan untuk meletakkan calonnya bertanding di Permatang Pasir.

Beliau berkata, Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah berkata bahawa status quo kerusi yang diperuntukkan kepada manamana parti dalam gabungan pembangkang kekal sehingga pilihan raya umum akan datang.

Mujahid berkata, pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Penanti baru-baru ini, PAS pernah menyuarakan hasrat untuk bertanding di Penanti selepas wakil rakyat PKR, Mohammad Fairus Khairuddin meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan itu.

"Ketika itu, permintaan kami berdasarkan kepada prinsip tanggungjawab sosial kepada pengundi di situ kerana wakil rakyatnya meletak jawatan atas sebab peribadi dan Anwar kata status quo kerusi itu kekal sehingga pilihan raya umum akan datang.

"Jadi, perkara yang sama diguna pakai di Permatang Pasir," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau yang terkejut dengan permintaan akar umbi PKR untuk meletakkan calon parti itu bertanding pada pilihan raya kecil itu, berkata PAS tidak mempunyai sebarang masalah jika PKR mahu berbincang mengenai perkara itu.

Semalam Anwar berkata, terdapat permintaan daripada pemimpin dan akar umbi PKR supaya parti itu meletakkan calonnya di kerusi yang dikuasai PAS selama tiga penggal kerana kedudukan parti itu yang semakin kuat dan mantap di Permatang Pasir.

Kerusi negeri Permatang Pasir kosong apabila wakil rakyatnya, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, dari PAS meninggal dunia Jumaat lepas di Insitut Jantung Negara (IJN) kerana sakit jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengumumkan tarikh pencalonan dan pilihan raya kecil kawasan itu 10 Ogos ini.

Mengenai calon pada pilihan raya kecil itu, Mujahid berkata PAS Pulau Pinang akan menimbangkan nama yang sesuai sebagai calon setelah menerima cadangan daripada kawasan itu sebelum menyenarai pendek dan menyerahkan kepada PAS pusat untuk perakuan.

Beliau berkata antara ciri calon yang dicari ialah orang yang tidak melakukan maksiat, tidak mengulangi dosa kecil, tidak melakukan dosa besar serta mempunyai keperibadian yang boleh diterima semua kaum di kawasan Permatang Pasir.

No comments

Powered by Blogger.