Rakyat Mula Terima Pakatan Rakyat

SHAH ALAM, 26 Ogos - Kemenangan PAS dalam pilihanraya kecil Permatang Pasir semalam menunjukkan rakyat sudah menerima pemerintahan Pakatan Rakyat di negara ini.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata penerimaan rakyat ini jelas apabila Pakatan Rakyat sekali lagi memenangi pilihan raya kecil di kawasan itu sejak pilihan raya umum 1999.

“Ini menunjukkan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap Pakatan Rakyat dan kita berharap kita dapat dibenarkan untuk terus menguruskan negeri dengan cara yang terbaik tetapi tidak akan berlaku hasutan dan juga usaha-usaha mengurangkan keupayaan kita untuk mengurus dengan cekap dan dengan mempunyai cara-cara usaha pembangunan yang kita lakukan”katanya.

Tan Sri Khalid berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Shah Alam, petang tadi.

Semalam, PAS memenangi kerusi DUN Permatang Pasir dengan majoriti besar tetapi merosot beberapa ratus undi daripada keputusan yang dicapai parti itu pada pilihan raya umum tahun lepas.

Calon PAS Mohd Salleh Man mendapat 9,618 undi, manakala calon BN Rohaizat Othman memperolehi 5,067 undi.

Majoriti yang diraih Salleh 4,551, iaitu kurang 882, berbanding pilihanraya umum lalu.

No comments

Powered by Blogger.