Selangor Science Park 1 (SPP1) Lonjak Pertumbuhan Ekonomi Negeri

SHAH ALAM, 14 Ogos - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) membawa media melawat Taman Sains Selangor 1 (SSP1) yang dibangunkannya sejak 1996 di Kota Damansara semalam.

Lawatan hampir setengah hari itu adalah untuk memberi pendedahan kepada media tentang peranan penting taman sains itu dalam melonjakkan pertumbuhan ekonomi negeri Selangor.

SSP1 yang berkeluasan 478.3 ekar itu adalah salah satu pusat pertumbuhan baru dibangunkan PKNS, berjaya menarik minat pelabur tempatan dan luar negara dengan pelaburan hampir 2 billion ringgit.

Selain itu, SSP1 turut menempatkan pusat inkubator sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D), hasil usahasama PKNS dan anak syarikat Universiti Malaya iaitu Innotech Park Sdn Bhd.

Di samping itu, pusat inkubator ini diwujudkan bagi menggalakkan pembangunan usahawan baharu di kalangan penyelidik tempatan dan antarabangsa.

Dalam pada itu, SSP1 merangkumi dua fasa, iaitu fasa pertama lebih tertumpu kepada pembangunan industri berteknologi tinggi manakala selebihnya adalah kawasan institusi.

Sebanyak 59 syarikat sudah menjalankan operasi mereka yang terdiri daripada sektor pembuatan produk kesihatan, komponen kapal terbang, transformer, pengkalan data, pengeluaran perisian komputer, pembuatan peralatan saintifik dan juga pusat R&D.

No comments

Powered by Blogger.