SPR Perlu Berani Berubah

Oleh Jebat Sarawak

Sudah tibanya masanya pihak SPR selaku badan induk yang mengurus serta menjaga intergriti proses pemilihan wakil rakyat menjadikan apa yang terjadi kepada senario keluar parti sebagai salah satu tanggungjawab sepenuhnya yang harus dimiliki oleh pihak SPR.

Jika kita renung akan senario wakil rakyat yang menang pilihanraya tetapi mengambil langkah keluar parti yang diwakilinya tetapi terus kekal sebagai wakil rakyat nampaknya senario ini tidak memberi apa-apa kebaikan kepada pihak SPR. Malah tindakan wakil rakyat seperti ini seakan mempermainkan proses pilihanraya yang telah diusahakan dengan begitu rumit oleh pihak SPR.


Walaupun pihak SPR hanya bertanggungjawab untuk menguruskan sesuatu pilihanraya namun pihak SPR juga kini harus memperbaharui tugas dan tanggungjawab mereka dengan mengawal senario yang sungguh jijik di kalangan wakil rakyat ini. Di tinjau daripada aspek manapun tindakan keluar parti oleh wakil rakyat ini tidak membawa apa-apa kebaikan kepada pihak terbabit. Malah jika dinilai secara jujur dan penuh intergriti tindakan wakil rakyat yang keluar parti ini sesuatu yang melanggar amanah pengundi yang telah mengundi seterus memenangkan mereka. Sesungguhnya tindakan ini tidak adil kepada rakyat. Justeru itu untuk memastikan hak pengundi terjaga dan terjamin maka pihak SPR harus menangani perkara ini melalui kuasa yang ada pada mereka.

Demi menjamin proses pilihanraya Malaysia dihormati oleh semua pihak dan negara luar maka pihak SPR seharusnya mempunyai ketetapan khas bagi mengosongkan mana-mana kerusi wakil rakyat yang keluar parti atau melompat parti ini. Perkara ini bukanlah bermakna SPR cuba untuk menyekat kebebasan mana-mana pihak untuk memilih tapak perjuangan mereka tapi tindakan keluar parti setelah meneng pilihanraya adalah sesuatu yang buruk dan boleh mencemarkan peranan serta intergriti pihak SPR dalam menguruskan hal berkaitan pilihanraya dan wakil rakyat.

Tindakan keluar parti serta melompat parti sejak akhir-akhir ini seolah-olah menjadi jalan terakhir untuk seseorang wakil rakyat menyelesaikan masalah dalaman dalam parti mereka. Seharusnya pihak SPR mempunyai undang-undang untuk mencegah mana-mana wakil rakyat daripada keluar parti yang diwakili mereka. Jika mereka mahu juga keluar parti maka kerusi yang dimenangi oleh mereka seharusnya dikosongkan. Dengan ini bererti seseorang wakil rakyat tidak semudah untuk menodai amanah pengundi sekaligus mencemarkan institusi pilihanraya di negara kita. Jika pihak SPR mampu melaksanakan peraturan ini sudah pasti perbuatan pecah amanah serta mengkhianati pengundi ini mampu disekat sekaligus institusi SPR sebagai badan yang mengawal sistem pilihanraya negara ini akan lebih dihormati dan disegani oleh rakyat serta masyarakat luar.

Menilai tindakan keluar parti oleh beberapa wakil rakyat seperti di Perak dan ADUN Lunas ini nampaknya intergriti seseorang wakil rakyat negara kita terlalu rendah sekali. Pihak wakil rakyat yang telah dipilih rakyat dengan penuh susah payah serta kesusahan pihak SPR menguruskan sesuatu pilihanraya itu seakan tidak mempunyai nilai apa-apapun kepada wakil rakyat ini. Segala kepercayaan rakyat selaku pengundi yang memilih mereka serta kredibiliti proses pilihanraya yang termaktub dalam Perlembagaan itu seakan sampah yang tidak mempunyai nilai apa-apa kepada wakil rakyat ini. Selain itu juga tindakan keluar parti ini seolah-olah pihak SPR tidak mampu mewujudkan sebuah sistem pilihanraya yang mampu membentuk serta melahirkan wakil rakyat yang bertanggungjawab kepada rakyat serta penuh intergriti.

Sesungguhnya tindakan keluar parti seperti yang dilakukan oleh wakil-wakil rakyat di Perak serta yang terbaru oleh ADUN Lunas ini adalah sesuatu tindakan yang cukup memalukan sistem demokrasi pilihanraya di negara kita. Tindakan ini benar-benar tindakan yang tidak bermoral dan bermaruah yang ada pada wakil rakyat tersebut. Jika senario ini tidak dibanteras sekarang maka mungkin suatu hari nanti akan ada wakil rakyat yang akan menjadi yo-yo serta katak sarkas dalam institusi wakil rakyat kita. Apa tidaknya seseorang wakil rakyat itu boleh keluar dan masuk sesuatu parti mengikut kehendak hati mereka. Jika mereka suka mereka menyertai parti tersebut. Jika tidak suka mereka akan keluar pula. Jika rasa berpengaruh mungkin mereka akan jadi bebas dan seterusnya akan menubuhkan PARTI KATAK. Sesungguhnya perkara ini boleh terjadi kerana intergriti wakil rakyat kini semakin rendah dan berkepentingan peribadi semata-mata. Potensi untuk menubuhkan PARTI KATAK ini pastinya cerah kerana banyak calon yang menunggu peluang untuk keluar parti yang mereka wakili sekarang. Mereka hanya menunggu masa yang sesuai bergantung kepada nasib mereka dalam parti masing-masing.

Mana-mana parti tidak usahlah takut sekiranya pihak SPR mengenakan peraturan menyekat wakil rakyat keluar parti seterusnya mengosongkan kerusi mereka jika mereka keluar parti kerana sesiapa saja wakil rakyat boleh keluar parti jika mereka mahu. Samada wakil rakyat dari Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional perkara ini boleh terjadi. Tidak ada sesiapa boleh menghalangnya selagi tidak ada peraturan yang mencegah perbuatan HINA, BANGSAT DAN TIDAK BERMORAL ini. Demi menjaga intergriti serta mengangkat martabat SPR di mata rakyat maka sewajarnya pihak SPR perlu melaksanakan tanggungjawab ini dengan segera. Tidak guna adanya sistem pilihanraya atau memilih wakil rakyat jika wakil rakyat yang dipilih itu tidak menghormati sistem yang mengangkat mereka sebagai pemimpin.

SPR punya kuasa. SPR punya tanggungjawab. Dan SPR punya keupayaan untuk mengubah senario HINA, BANGSAT DAN TIDAK BERMORAL ini. Jangan jadikan SPR hanya tempat melahirkan wakil rakyat sebaliknya apa yang dilahirkan itu tidak memberi apa-apa makna kepada hak rakyat di sudut Perlembagaan. SPR harus bertanggungjawab membina dan membentuk sebuah institusi wakil rakyat yang lebih baik penuh intergriti kepada rakyat bagi diwarisi oleh generasi yang akan datang.

No comments

Powered by Blogger.