SPRM Berat Sebelah Siasat Peruntukan Adun Pakatan Rakyat

SHAH ALAM, 14 Ogos - SPRM berat sebelah…

Itu kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, Lau Weng San berkenaan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), terhadap Exco Selangor, Rodziah Ismail, berkaitan salah guna peruntukan Dewan Undangan Negeri Sementa, iaitu DUN angkat Exco tersebut.

Kata Lau, mengapa SPRM belum menyiasat kes rasuah Barisan Nasional yang dilaporkan lebih awal berbanding kes Rodziah kerana sehingga kini tiada sebarang laporan dikeluarkan berhubung perkara itu.

“Saya berasa aneh dan tidak faham dengan tindakan SPRM kerana pada 17 Julai 2009 saya telah membuat laporan terhadap SPRM tentang bekas Adun Kampung Tunku yang menghabiskan peruntukan sebanyak RM500,000 dalam masa kuranG daripada tiga bulan pada tahun 2008,” katanya.

Lau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Dewan Annex, Shah Alam, pagi tadi.

Katanya, SPRM sepatutnya menjalankan siasatan ke atas aduannya yang dibuat terlebih dahulu daripada aduan yang dibuat oleh Gerakan Intergriti dan Anti Korupsi (Gerak).

“Walaupun begitu, apa yang berlaku adalah sebaliknya, SPRM memilih untuk mengambil tindakan terhadap laporan Gerak dan mengetepikan laporan saya.

“Bukankah ini satu tindakan yang berat sebelah? Kalau SPRM selama ini mengatakan mereka akan bertindak adil terhadap semua, mengapa pula kali ini mereka memilih bulu dalam siasatan mereka?,” katanya.

Tambah Lau, dokumen yang diserahkan kepada SPRM adalah dokumen rasmi yang diperolehi daripada Pejabat Tanah dan Daerah Petaling, manakala dokumen yang diserahkan oleh Gerak kepada SPRM adalah diperoleh daripada sumber yang tidak diketahui.-ATIQAH YAACOB (TVSELANGOR)

No comments

Powered by Blogger.