SPRM Bertindak Tidak Professional Tahan Pembantu Khas Ronnie Liu

SHAH ALAM, 14 Ogos - Penahanan Wong Chuan How menunjukkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak professional, kata Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu.

Wong Chuan How yang merupakan pembantu khas kepada Ronnie ditahan SPRM di pejabatnya, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Pelek, Sepang kira-kira jam 9 pagi tadi.

Bagaimanapun, berlaku pergelutan apabila Wong dikatakan tidak mahu mengikut arahan pegawai SPRM berkenaan untuk membawanya keluar daripada pejabat untuk di soal siasat.

Ronnie yang dihubungi TVSelangor berkata, tindakan pegawai SPRM itu adalah tidak wajar kerana mereka telah membuat persetujuan akan melakukan siasatan di pejabat Wong.

“Apabila MACC sampai, sebaik sahaja mereka duduk, mereka kata mahu membawa Wong ke MACC, jadi mengikut keputusan Exco-exco Pakatan Rakyat Selangor, kita tidak lagi membenarkan kakitangan kita, adun atau pembantu khas untuk mengikut mereka ke mana-mana kerana kematian Teoh Beng Hock, kita hilang keyakinan dengan MACC,” katanya.

Menurut Ronnie, kedua-dua pihak membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Pelek berikutan insiden itu, bagaimanapun berlaku pergelutan lagi apabila pegawai SPRM masih mahu menangkap Wong.

“Selepas laporan polis, barulah mengikut mereka ke Putrajaya, tetapi selepas perjanjian dibuat, tiba-tiba ada 3 anggota macam samseng, tak pakai uniform, terus mahu tangkap Wong, dengan tak tunjuk identiti, tolak Wong, jatuh dan cederakannya,” katanya.

Menurut Ronnie, Wong membuat laporan polis kerana SPRM dikatakan tidak ada kuasa untuk menahan beliau dan telah cedera dalam insiden pergelutan itu.

Manakala, SPRM pula membuat laporan kerana Wong dikatakan mengelak daripada ditahan dan disoal siasat SPRM berikutan dakwaan penyalahgunaan dana kerajaan negeri Selangor oleh beberapa wakil rakyat negeri itu.

Wong mendapatkan rawatan di Hospital Serdang.-ATIQAH YAACOB (TVSELANGOR)

No comments

Powered by Blogger.