Tanah Perkuburan Islam Kampung Delek Di buka Esok

KLANG, 10 Ogos - Satu tapak tanah perkuburan Islam baharu bakal dibuka kepada orang ramai mulai esok di Kampung Delek, Klang.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata pembukaan tapak baru ini bagi menampung keperluan mendesak berikutan tanah perkuburan di Lipat Kajang telah penuh.

“Ia akan dibuka kepada semua. Apa-apa yang ditampung oleh Lipat Kajang sebelum ini akan ditempatkan disini termasuklah juga ada jenazah-jenazah yang tidak mempunyai waris ataupun penduduk asing terpaksa akan dihantar disini juga”

Halimah yang juga Adun Selat Klang berkata tapak perkuburan baru ini boleh menempatkan kira-kira 8,000 jenazah dengan keluasan 28 ekar.

Halimah berkata demikian kepada TV Selangor selepas mengadakan tinjauan ke tapak berkenaan petang tadi.

Turut hadir, Ahli Majlis MPK, Jamuliddin Allias dan Ketua Bahagian Kesihatan Awam MPK (Unit Tanah Perkuburan Islam) Zakaria Ismail.

Tambah Halimah, pengurusan jenazah di kawasan baru ini juga sedikit berbeza dimana jenazah akan dikebumikan dengan menggunakan keranda.

Katanya, situasi ini berikutan tanah di tapak baru ini berair.

Walaubagaimanapun menurutnya, orang ramai tidak perlu bimbang kerana pihak masjid akan menyediakan kemudahan itu dengan bayaran tertentu.

Katanya, bagi memudahkan orang ramai membuat tempahan dan bayaran, pihak MPK akan membuka pejabat pengurusan tanah dikawasan tapak perkuburan tersebut.

Menurutnya, waktu urusan bermula setiap hari dari jam 8.00 sehingga 5.00 petang.

No comments

Powered by Blogger.