Teoh Tiada Masalah Psikologi Dorong Bunuh Diri

SHAH ALAM: 17Ogos, Teoh Beng Hock tidak mempunyai masalah psikologi, dadah, rokok atau alkohol yang boleh menyebabkan bekas Setiausaha politik Exco Selangor itu membunuh diri, demikian inkues kematian Teoh diberitahu hari ini.

Pakar perunding kanan perubatan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang, sebagai saksi ke-10, Dr Khairul Azman Ibrahim berkata perkara itu diputuskan hasil temuramah yang beliau lakukan terhadap keluarga Teoh sebelum menjalankan bedah siasat ke atas mayat mangsa.

Dr Khairul Azman yang menyambung keterangannya pada kali ke-3 itu, berkata beliau turut bertanya kepada anggota keluarga Teoh sama ada mendiang ada berhutang atau dalam keadaan tertekan, merokok atau mengambil dadah dan mereka menyatakan bahawa mangsa seorang yang terbuka dan suka berbincang.

Ketika ditanya peguam yang mewakili keluarga Teoh, Gobind Singh Deo tujuan beliau menemuramah keluarga Teoh mengenai latar belakang mangsa, Dr Khairul berkata beliau ingin mendapat gambaran sama ada Teoh adalah seorang yang mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri.

Dr Khairul Azman juga mengatakan bahawa beliau mengetahui Teoh sepatutnya mendaftar perkahwinannya sehari selepas beliau ditemui mati melalui abang Teoh dan mengetahui bahawa tunang Teoh hamil dua bulan selepas membacanya di akhbar.

Dr Khairul Azman turut memaklumkan bahawa beliau ada bertanya kepada abang Teoh sama ada dia mengetahui mangsa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mengapa mangsa disoal siasat oleh SPRM tetapi abang Teoh menjawab tidak tahu.

Selain itu, Dr Khairul Azman berkata, ketika beliau bertanya kemungkinan mangsa meninggal dunia akibat jatuh atau dibunuh, adik perempuan Teoh memberitahu bahawa mangsa tidak mungkin jatuh.

Dr Khairul Azman berkata selain keluarga Teoh beliau turut bertanya kepada pegawai penyiasat ASP Ahmad Nazri Zainal bagi mendapatkan gambaran yang jelas.

Sementara itu, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh, berkata teori berlakunya pembunuhan dalam kematian Teoh tidak dapat dikemukakan kerana kegagalan pakar patologi, Dr Khairul Azman tidak menyoal siasat SPRM.

Katanya, pakar patologi itu seharusnya menyiasat dan menemuramah pegawai SPRM bagi mengkaji kemungkinan berlakunya unsur-unsur homisid (pembunuhan) dalam kematian setiausaha exco Selangor itu, Julai lalu.

Prosiding menjadi lebih hangat apabila saksi ke-10 itu diasak oleh Gobind beberapa kali mengenai sama ada beliau (Dr Khairul Azman) sebenarnya boleh menyoal siasat pegawai SPRM dan pakar itu menjawab: “Maafkan saya (koroner). Peguam ini bermain kata-kata.”

Saksi itu menjelaskan walaupun beliau tidak menemuramah pegawai SPRM tetapi beliau ada bertanyakan butir-butir kes itu daripada pegawai penyiasat.

Dr Khairul Azman kemudian disoal mengenai kandungan perut Teoh, dan saksi itu menjelaskan: “Tiada kandungan bahan makanan yang ditemui dalam perut si mati,”

Beliau berkata ini menunjukkan kali terakhir Teoh makan ialah kira-kira empat jam sebelum kematiannya.

Dr. Khairul Azman Ibrahim berpendapat tali pinggang Teoh Beng Hock akan tertanggal dari seluar sekiranya ia terputus semasa dipegang ketika badan Teoh itu tergantung di udara.

Katanya, badan Beng Hock juga tidak akan tercampak sebaliknya jatuh secara lurus jika dia dipegang pada bahagian tali pinggang semasa jatuh.

Beliau turut menolak kemungkinan tali pinggang terputus disebabkan berlaku tolak menolak atau pergelutan kerana tiada sebarang kesan jelas pada badan mahupun kawasan sekitar tingkap

Mahkamah ditangguh sehingga esok pagi.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam di sini, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan dakwaan salah guna wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di bangunan itu. KEMALIA OTHMAN, (TVSELANGOR)

No comments

Powered by Blogger.