Tiga Bantahan Pembinaan Kuil Seksyen 23

SHAH ALAM, 17 Ogos - Sebanyak tiga memorandum bantahan diserahkan kepada Menteri Besar dan dua Exco Selangor oleh penduduk Seksyen 23, sebagai membantah projek pembinaan kuil di kawasan perumahan mereka, pagi tadi.

Memorandum berkenaan diserahkan oleh Timbalan Pengerusi Ahli Jawatankuasa (AJK) Bertindak Bantahan Pembinaan Kuil Seksyen 23, Ibrahim Sabri kepada wakil Menteri Besar, Nozaton Aini Mohd Kassim.

Dua lagi memorandum diserahkan kepada wakil Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awami dan wakil Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan kerajaan Prihatin.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dan kebanyakan Exco tiada di pejabat masing-masing hari ini kerana memberi sokongan kepada calon Pakatan Rakyat di Permatang Pasir hari ini.

“Kami berasa terpanggil untuk menyerahkan memorandum ini ekoran kenyataan yang dibuat oleh Dr Xavier pada 11 Ogos lalu, yang mengumumkan mengenai pemindahan kuil di Seksyen 19 ke Seksyen 23 tanpa berbincang dengan penduduk.

“Kami mengalu-alukan kehadiran Tan Sri Abdul Khalid dalam masa terdekat bagi mengadakan perbincangan dengan penduduk Seksyen 23, seterusnya mempertimbangkan untuk membatalkan pembinaan kuil berkenaan,” kata Ibrahim kepada pemberita.

Menurut beliau, penduduk di Seksyen 23, tetap bertegas membantah dengan sekeras-kerasnya pembinaan kuil berkenaan di tapak yang telah diluluskan oleh Exco kerajaan negeri Selangor.

Jumaat lalu, Rodziah yang turut menerima memorandum daripada penduduk terbabit, mengatakan keputusan membina kuil berkenaan belum muktamad.

Beliau akan membawa perkara itu dalam mesyuarat Exco untuk membincangkan bantahan yang diterima daripada penduduk setempat.

Beliau bagaimanapun kesal dengan tindakan penduduk mengadakan demonstrasi sambil mengeluarkan kata-kata kesat kepada pemimpin Pakatan Rakyat yang dipercayai didalangi pengikut Umno-Barisan Nasional.KEMALIA OTHMAN (TVSELANGOR)

No comments

Powered by Blogger.