Tok Guru Kata ISA Hina Martabat Manusia!
Penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah menghina martabat manusia di muka bumi ini, kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Beliau berkata, manusia merupakan makhluk terbaik ciptaan Ilahi dan penggunaan ISA tidak ubah seperti ‘melayan haiwan’ yang boleh diperlakukan pelbagai cara oleh manusia.
“Penggunaan ISA, bukan manusia melayan seperti manusia, (tetapi) ia seperti haiwan yang (boleh) dipukul dan diperlakukan dengan pelbagai cara,” katanya ketika ditemui selepas hadir di Kelantan Delight, di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas perarakan yang dilakukan oleh penyokong Gabungan Mansuhkan ISA (GMI) yang diadakan di beberapa lokasi di ibu negara semalam.
Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, ISA tidak seharusnya dipinda seperti mana yang dinyatakan oleh pimpinan BN, sebaliknya harus dihapuskan dan diganti dengan penambahbaikan undang-undang jenayah.
“(Jika) Nak pinda, ertinya ISA masih ada dan menteri masih lagi berkuasa daripada undang-undang, kuasa menteri lebih, itu tidak betul, menteri juga terletak di bawah Allah, tidak boleh,” katanya.
Menurutnya, apa yang berlaku kini, undang-undang di negara ini hanya berkuat kuasa kepada rakyat sebaliknya ia tidak diperuntukkan kepada menteri yang melakukan kesalahan.
Mengulas mengenai kenyataan pimpinan UMNO yang menyuarakan keyakinan tinggi meraih sokongan rakyat pada pilihan raya kecil Permatang Pasir, Nik Aziz berharap parti tersebut tewas dalam pilihan raya itu.
“Saya harap UMNO tidak akan naik (kembali) sampai bila- bila, tidak perlu ada UMNO tetapi jika tidak ada Pas tidak boleh. Kalau orang UMNO masuk Pas lagi baik, selagi ada UMNO selagi itu tindakan karut berlaku.
“Di Manek Urai, undi (Pas) turun sebab duit, orang kampung kelabu mata. Jika tidak ada duit UMNO tidak akan wujud di muka dunia ini,” katanya. -SH
No comments
Post a Comment