Umno tubuh JK khas siasat dua sidang serentak

Oleh Mohd Zuharman

KOTA BARU, Ogos 10 — Umno Bahagian Rantau Panjang bakal berdepan dengan siasatan jawatankuasa khas ekoran wujudnya dua kumpulan persidangan perwakilan di dua lokasi serentak Jumaat lalu.

Senator Datuk Dr Awang Adek selaku Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri mengetuai jawatankuasa khas siasatan itu akan meneliti laporan mengenai insiden berkenaan secara terperinci sebelum mengambil langkah sewajarnya.

Pengerusinya, Datuk Mustapa Mohamad, mengesahkan menerima laporan berkenaan yang diserahkan oleh pemerhati persidangan dari wakil Umno bahagian Tanah Merah di Kota Bharu semalam.

Siasatan terhadap insiden yang dianggap serius itu akan dijalankan segera bagi mengatasi persepsi buruk imej parti yang sentiasa mendokong kebajikan rakyat daripada masyarakat umum.

Jumaat lepas, Umno Bahagian Rantau Panjang yang diketuai Ketuanya, Abdullah Mat Yasin, menjadi satu kumpulan selain satu lagi kumpulan diketuai Naib Ketua Umno Bahagian, Mohd Daud Hamat, mengadakan persidangan serentak di lokasi berasingan

Kumpulan diketuai Abdullah mengadakan persidangan di Dewan Kolej Kemahiran Tinggi Mara, manakala kumpulan diketuai Mohd Daud mengadakan persidangannya di Dewan Yayasan Pembangunan Masyarakat (YPM) di Kampung Lati, Rantau Panjang.

Mustapa menegaskan siasatan laporan perkara berkenaan akan dibincang pada peringkat negeri sebelum ianya diserahkan kepada Majlis Tertinggi (MT) untuk sebarang tindakan lanjut.

Beliau memberitahu tindakan segera tidak dapat diambil terhadap bahagian terbabit kerana bidang kuasa penuh terletak kepada MT.

Persidangan yang berlangsung di dewan YPM menyaksikan emosi hangat di kalangan perwakilan apabila sembilan usul dibentangkan semuanya meminta MT Umno peka serta menyedari budaya buruk kian menular di dalam Umno bahagian berkenaan.

Mereka juga turut mendesak agar MT mengambil tindakan terhadap stigma boleh menimbulkan kebencian di kalangan rakyat terhadap Umno di samping melakukan transformasi secara drastik bagi menyelamatkan Umno dari kehancuran.

Difahamkan krisis Umno bahagian Rantau Panjang berlarutan bermula sejak Oktober tahun lalu semasa persidangan perwakilan bagi memilih pucuk pimpinan peringkat bahagian.

No comments

Powered by Blogger.