Bukan Islam Yakin Dengan Kepimpinan PAS

Oleh Suraaya Hulaimi

PENGKALAN CHEPA 14 Jun - Pemuda Dewan Himpunan Penyokong PAS Selangor menyokong dan berdiri teguh di belakang kepimpinan parti dalam isu judi bola sepak kata Ketua Pemuda DHPP Selangor, S Jalaraman.

Jalaraman berkata beliau amat bangga dengan ketegasan pihak kepimpinan PAS yang berani menentang judi sukan bola sepak yang jelas banyak membawa keburukan kepada masyarakat dan negara.

"Pemberian lesen judi bola sepak tidak akan dapat menyekat aktiviti judi haram di kalangan rakyat Malaysia kerana apa yang penting ialah pelaksanaan penguatkuasaan oleh pihak yang berwajib yang dilihat longgar dan tidak bersungguh.

"Selain daripada membawa kepada keruntuhan akhlak, pemberian lesen judi ini juga sedikit sebanyak akan merosakkan mutu sukan bolasepak di tanah air kita.

"Kita akan lihat dimasa hadapan dimana mutu sukan kita tidak lagi bersih kerana ianya akan dipengaruhi oleh pengaruh wang yang akan ditawarkan oleh orang-orang yang tertentu bagi tujuan perjudian mereka.

"Ini akan menjejaskan mutu dan kemahiran sukan generasi akan datang," kata beliau semasa berucap pada sesi penggulungan Muktamar PAS ke-56 semalam.

Beliau juga berterimakasih kepada kepimpinan PAS yang telah membenarkan ahli calon bukan Islam bertanding di atas tiket PAS pada pilihan raya umum akan datang dengan menggunakan simbol parti tersebut.

"Kami ahli DHPP memahami akan dasar perjuangan PAS dan kami yakin akan lebih ramai lagi kaum India yang akan menyertai DHPP kerana sudah ramai yang muak dengan kerenah MIC yang jelas berlaku tidak adil dan hanya menunggu kehancuran akibat krisis kepimpinan," tambah beliau.

Seorang lagi wakil DHPP Selangor, K Ramamoorthi yakin kepimpinan PAS akan telus dan adilserta tidak meminggirkan hak kaum lain serta membantu pihak yang tertindas.

No comments

Powered by Blogger.