Desak Dunia Sekat Ekonomi, Politik Terhadap Israel

SHAH ALAM 5 Jun - Angkatan Muda KEADILAN Selangor mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kesatuan Eropah, Persidangan Pertubuhan Islam (OIC), NAM, G8 , NATO, GCC dan negara-negara dunia segera mengenakan sekatan ekonomi dan politik terhadap rejim Zionis Israel.

Ketua Penerangan AMK Selangor, Mohd Ezli Mashut berkata AMK Selangor mahu dunia bukan sekadar mengeluarkan kecaman dan kutukan tetapi yang lebih penting ialah tindakan keras terhadap negara haram Israel.

"Kita menggesa agar pintu sempadan Rafah yang memisahkan Gaza dan Mesir dibuka terus menerus bagi memastikan usaha bantuan kemanusiaan daripada seluruh dunia dapat dihantar.

"Negara-negara Arab perlu menggerakkan usaha lebih giat dan proaktif bagi memastikan rakyat Palestin yang pada ketika ini berhadapan situasi getir mendapat bantuan dalam kadar segera.

"Kita juga menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memainkan peranan utama dalam OIC , NAM dan Asean memutuskan hubungan diplomatik dan ekonomi secara rasmi dan tidak rasmi dengan rejim Zionis yang kejam itu," tegasnya.

AMK Selangor juga kata Ezli, mendesak dunia memberikan perlindungan terhadap aktivis-aktivis misi kemanusiaan ke Semenanjung Gaza kerana warga pelbagai negara terlibat dalam misi talian hayat kepada rakyat Palestin.

"Kita berharap Malaysia dapat mencontohi keberanian negara Turki dalam isu Palestin ini yang jelas dan berani pendiriannya," ujar Ezli

Tambahnya, AMK Selangor juga mengulangi desakan terhadap dunia agar nasib aktivis kapal Rachel Corrie tidak menerima nasib yang buruk seperti kapal Mavi Marmara.

"Kita berharap Wisma Putra memainkan peranan yang efektif dan berkesan untuk terus menyampaikan maklumat tepat dan pantas," tambah beliau lagi.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.