Esok Saya Akan Datang Lagi - Manikavasagam

Oleh Norasikin Samsi

SHAH ALAM 3 Jun - Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam hari ini sekali lagi hadir pada Pendengaran Awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban Dan Ketelusan (Selcat) berhubung salahguna kuasa dalam Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Seawal pukul 10 pagi tadi, beliau kelihatan setia menunggu namanya dipanggil sebagai saksi di pejabat Selcat di mana berlangsungnya pendengaran awam itu.

Bagaimanapun, panel Selcat masih belum memanggilnya untuk memberi penerangan pada hari kedua pendengaran awam ini berlangsung.

Walau apa pun katanya, beliau akan tetap hadir pada hari terakhir esok meskipun tidak mendapat kebenaran daripada Speaker Dewan Rakyat,Teng Chang Kim.

"Mungkin petang ini saya akan dapat surat kebenaran daripada Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Rosme Hamzah.

"Saya belum lagi dipanggil hari ini. Saya kena tunggu dapat kebenaran daripada Dewan Rakyat," katanya dalam sidang media di lobi Dewan Annex, bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor selepas pendengaran awam Selcat tengahari tadi ditangguhkan.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN itu juga menegaskan tentang kesediaan beliau sepenuhnya untuk menghadiri pendengaran awam tersebut.

"Saya memang sedia, saya tidak takut dan tidak gentar untuk beri semua dokumen dan saya telah datang ke sini dua hari sebab saya yang bongkarkan isu ini.

"Kalau Dewan Rakyat kata okey saya tak ada masalah. Saya memang sedia. Tetapi sekiranya sehingga pagi esok surat tersebut masih belum diperolehi, saya tetap hadir untuk serahkan semua dokumen dan maklumat berkaitan isu ini tetapi saya tidak akan cakap apa-apa.

"Saya cuma nak ikut undang-undang sahaja dan tidak mahu dikenakan tindakan 'contempt of court'," katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kapar itu telah menulis surat kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk mendapat kebenaran bagi menghadiri pendengaran awam itu.

"Sebagai seorang Ahli Parlimen, saya perlu mendapatkan kebenaran daripada Speaker terlebih dahulu.

"Saya juga tidak boleh bercakap atau menjawab sebarang soalan dari Selcat kerana telah dinasihatkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.

Beliau juga memberitahu sehingga kini beliau telah menerima sebanyak 12 aduan berkenaan salah gunakuasa dalam KSSB.

"Pengadu semuanya sudah 12 orang. Saya ada tujuh orang saksi yang penting, tiga orang kontraktor Semesta dan dua orang kakitangan Semesta.

"Bagaimanapun, saya sudah menyiapkan semua dokumen lima saksi yang berkaitan dan saya akan serahkan senarai saksi esok kalau dipanggil," katanya lagi.

Manikavasagam turut mencadangkan pendengaran awam Selcat bagi kes ini dapat dilanjutkan untuk satu tempoh yang lebih panjang bukannya hanya terhad kepada tiga hari sahaja.

"Selcat tak cukup tiga hari untuk kemukakan kesemua saksi. Saya sendiri mempunyai lebih kurang lima orang ataupun lebih yang kita terima. Sepatutnya ia boleh dipanjangkan pada minggu akan datang untuk melengkapkan pendengaran awam kesemua mereka terbabit," tambahnya lagi.

Manikavasagam baru-baru ini mendedahkan salah guna kuasa dan penyelewengan yang didakwanya berlaku dalam syarikat berkenaan.

Berikutan itu, beliau diarahkan untuk memberi penerangan kepada Selcat sementara SPRM pula telah mengambil dokumen mengenai perkara itu.

Ahli Parlimen Kapar itu telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang mengenai penyelewengan dan salah guna kuasa yang didakwanya berlaku dalam syarikat berkenaan.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.