GMJ masih sangsi, tapi anggap batal lesen judi ‘kemenangan rakyat’

Oleh G. Manimaran


KUALA LUMPUR, 26 Jun — Keputusan kerajaan untuk tidak mengeluarkan lesen pertaruhan sukan kepada Ascot Sports, yang diumumkan lewat malam tadi, merupakan “satu kemenangan rakyat”, kata Ketua Dewan Pemuda PAS Nasrudin Hassan hari ini.

Beliau yang kelihatan terkejut dengan keputusan itu ketika dihubungi The Malaysian Insider awal pagi tadi berkata, kerajaan akhirnya menerima pandangan majoriti rakyat yang membantah lesen pertaruhan sukan.

“Saya melihat ini kemenangan rakyat. Di mana akhir-akhir ini komponen dalam Umno sendiri pun sudah mula membantah antaranya beberapa sayap dalam Umno, bahagian dan beberapa negeri... kerajaan Najib hadapi tekanan dari dalam dan luar kerajaan,” kata beliau.

Malah kata beliau, perkembangan itu juga membuktikkan langkah kerajaan mahu meluluskan permohonan mendapatkan balik lesen judi sukan adalah sesuatu yang dibantah oleh majoriti rakyat.

“Ini membuktikan kerajaan dari awal-awal lagi sudah salah langkah dalam meluluskannya,” kata beliau yang kini mengetuai gerakkan membantah lesen judi sejak bulan ini.

Bagaimanapun kata beliau pihak ingin mendapatkan gambaran sebenar keputusan malam tadi sebelum menentukan tindakan selepas ini.

Mereka sejak bulan lalu telah memulakan Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) dan kemuncaknya ialah Himpunan 100,000 3 Julai ini.

Selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini malam tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak yang jelas menunjukkan bahawa sebahagian besarnya tidak bersetuju lesen itu dikeluarkan.

Najib yang juga Presiden Umno berkata keputusan itu dipersetujui dengan sebulat suara oleh anggota MT Umno yang bermesyuarat di sini pada malam tadi.

“Sejak keputusan kelulusan pada dasarnya telah dibuat dan tinjauan telah dibuat, walaupun ada pihak yang menyokong dan ada pihak tidak menyokong atau menentang, maka setelah mengambil kira semua pandangan ini, jelas kepada kerajaan bahawa sebilangan besar masyarakat tidak bersetuju lesen tersebut diberikan kepada Ascot Sports.

“Oleh itu, dengan ini saya ingin mengumumkan bahawa kerajaan mengambil keputusan bahawa lesen tersebut tidak akan dikeluarkan,” kata Najib.

Dalam pada itu Setiausaha GMJ Suhaizan Kaiat berkata, pihaknya akan mendapatkan penjelasan secepat mungkin daripada pihak kerajaan berkenaan kesahihan maklumat yang diterima memandangkan bahawa keputusan malam tadi.

Katanya keputusan malam tadi hanyalah dibuat oleh mesyuarat Umno bukannya mesyuarat kerajaan persekutuan.

“Pihak GMJ akan membuat mesyuarat tergempar esok pda pukul 11 tengah hari untuk membincangkan tidakan selanjutnya.

“Mesyuarat ini akan dihadiri oleh semua NGOs dan pertubuhan politik yang telah bernaung di bawah GMJ,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Pemuda PAS memberitahu pihaknya akan menghubungi Jabatan Perdana Menetri menerusi surat hari ini untuk mendapatkan penjelasan.

“Tindakan susulan akan ditentukan selepas penjelasan itu sama ada mahu meneruskan perhimpunan awam memprotes 3 Julai ini,” katanya.

Kata beliau, jika benar kerajaan sudah membatalkan perhimpunan membantah itu akan diubah menjadi perhimpunan meraikan kemenangan rakyat.

No comments

Powered by Blogger.