Guru patut diiktiraf sejajar pengorbanan

KUALA LUMPUR: Isteri Sultan Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris berkata, guru perlu diberi penghargaan dan pengiktirafan sejajar dengan pengorbanan yang dilakukan mereka untuk mendidik anak bangsa menjadi manusia berguna kepada pada negara agama serta bangsa.

Ramai yang berjaya pada hari ini disebabkan jasa guru yang mendidik mereka sejak dari tadika hingga ke peringkat lebih tinggi. Tanpa mereka, kita tidak tahu di mana tahap kita sekarang. Bagi saya, guru perlu dihormati dan diangkat martabatnya sesuai dengan pengorbanan mereka selama ini.
Malangnya, pada masa ini, ramai ibu bapa yang menyalahkan guru jika anak mereka berkelakuan buruk. Ada juga antara mereka yang menyerahkan tanggungjawab mendidik walhal tanggungjawab itu tidak seharusnya diserahkan kepada guru semata-mata, katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Persatuan Pengajaran Bahasa Inggeris (MELTA) ke-19 di sini, semalam.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan Pendidikan Guru dan Pembangunan Profesional Kementerian Pelajaran, Datuk Asariah Mior Shaharuddin berkata, guru perlu melakukan pembaharuan dengan melakukan penambahbaikan dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam kelas bersesuaian dengan keperluan semasa sekali gus mengelakkan pelajar bosan ketika dalam kelas.

Katanya, perubahan itu perlu bukan saja untuk mewujudkan suasana menyeronokkan tetapi juga bagi memastikan mereka tidak terus ketinggalan.

Guru perlu sentiasa aktif dan inovatif. Jadi, kita kena dedahkan mereka ini dengan pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran bersesuaian dengan keperluan semasa. Pendidikan bukan satu yang statik, jika tidak bergerak, kita akan ketinggalan, katanya.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.