Jalan Mahathir

Tukar Nama Jln Ampang Kepada Jln Tun Mahathir - Umno Cheras

KUALA LUMPUR: Jalan Ampang di sini dicadangkan supaya ditukar nama kepada Jalan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menghargai jasa bekas perdana menteri ini yang menerajui pentadbiran negara selama 22 tahun.

Cadangan dibuat oleh Ketua Umno bahagian Cheras Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.

"Kita ada Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Tun Razak, Bandar Tun Hussein Onn, Bandar Tun Razak. Kita ada Universiti Tunku Abdul Rahman, Universiti Tun Abdul Razak, Universiti Tun Hussein Onn.

"Tidak terfikirkah tentang Tun (Dr Mahathir), 22 tahun (menjadi perdana menteri)," katanya semasa berucap pada persidangan perwakilan Umno bahagian Cheras di sini hari ini.

"Tun (Dr Mahathir Mohamad) mahu atau tidak, setuju atau tak setuju, kita sebagai rakyat serta pemimpin negara harus mengenang jasa beliau," tambahnya.

Mesyuarat bahagian tersebut dirasmikan oleh isteri bekas perdana menteri itu, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang mewakili Dr Mahathir.

Syed Ali berkata beliau pernah mengutarakan cadangan itu di Dewan Negara sebaik selepas Dr Mahathir bersara dahulu.

Selain itu beliau juga mencadangankan agar nama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditukar nama kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Mahathir-Hasmah.

Pada sidang akhbar kemudiannya Siti Hasmah menghargai cadangan Syed Ali itu.

"Tetapi jika dibentang kepada Tun Dr Mahathir, dia mesti geleng kepala. Tapi terpulanglah, bagi kami berdua, tak payahlah. (Tetapi) kalau (itu cara) orang nak mengingati kami seperti yang Syed Ali cakap tadi, terpulanglah saya tak dapatlah nak komen," katanya.

Beliau juga berkata Dr Mahathir demam dan meminta beliau menggantikan tempatnya.Dr Siti Hasmah berkata ini merupakan kali pertama beliau merasmikan mesyuarat Umno di mana ia merupakan pengalaman baru baginya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau mengakui sering mengikuti suaminya menghadiri pelbagai acara sehingga dikatakan seperti belangkas.

"Bukan sebab apa-apa. Bukan sebab cemburu dan mahu memerhatikan kelakuan dan aktivitinya, tetapi sebagai isteri memang hati itu akan bimbang berkenaan kesihatan beliau," kata Dr Siti Hasmah. -BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.