Kenyataan Rasmi : Isu Serangan Israel Terhadap Konvoi Kemanusiaan di Gaza

Kenyataan Rasmi

YAB Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

Menteri Besar Kelantan

Isu Serangan Israel Terhadap Konvoi Kemanusiaan di Gaza

Saya mewakili kerajaan Kelantan dengan ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel yang menyerang kapal konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza dan sehingga sekarang telah mengorbankan 19 nyawa.

Konvoi ini dilaporkan membawa kira-kira 10,000 tan barangan bantuan, seramai lebih 540 orang menaiki kapal Mavi Marmara, termasuk ahli parlimen, ahli akademik, petugas media, ulamak, seorang kanak-kanak berumur kurang daripada satu tahun dan juga seorang warga emas berumur lebih daripada 80 tahun. Termasuk di dalam rombongan tersebut ialah 12 orang rakyat Malaysia yang turut menjadi tawanan Israel Nyata sekali ia bukan merupakan konvoi tentera dan tidak berangkat ke Gaza dengan tujuan ketenteraan.

Saya juga menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi teguran keras terhadap rejim itu. Saya juga menyeru agar Pertubuhan OIC dan turut menyertai bantahan ini bagi membuktikan kesungguhan membela nasib rakyat Palestin.

Hakikatnya tingkah laku biadap Israel ini berpunca dari kefahaman bahawa mereka merupakah bangsa yang terpilih dan mulia berbanding bangsa-bangsa yang lain. Bagi mereka, hanya mereka yang berhak hidup di bumi ini dan bangsa-bangsa lain hanyalah bertaraf hamba kepada mereka. Ekoran kefahaman sesat seperti inilah, mereka langsung tidak berasa bersalah melakukan kezaliman terhadap rakyat Palestin. Inilah bahayanya fahaman asobiah melampau yang dianuti oleh Yahudi. Selagi fahaman kebangsaan melampau seperti ini menjadi anutan mana-mana pihak, keamanan tidak akan dapat dikecapi di bumi ini.
Sekian, wassalam.

Pejabat Menteri Besar Kelantan
Bertarikh : 18 Jamadil Akhir 1431 H | 1 Jun 2010



Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.