Kg Baru: Pusat ingatkan MB Selangor jangan ganggu

Oleh Adib Zalkapli

KUALA LUMPUR, 20 Jun — Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin mengingatkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim agar tidak mengganggu pelan pembangunan semula Kampung Baru diusahakan kerajaan pusat.

Raja Nong Chik mendakwa Khalid tidak pernah menunjukkan sebarang minat terhadap usaha pembangunan semula kawasan tersebut ketika menerajui syarikat pengurusan dana PNB.

“Saya terkejut apabila mendengar Menteri Selangor Khalid Ibrahim mahu menemui penduduk Kampung Baru,” kata Raja Nong Chik pada majlis pelancaran cawangan Perkasa Lembah Pantai di sini petang ini.

Oleh itu, Raja Nong Chik menasihatkan Khalid agar memberi tumpuan untuk menyelesaikan masalah-masalah di Selangor.

Malah kata beliau, minat secara tiba-tiba Khalid terhadap nasib Kampung Baru boleh menyebabkan PKR kemerosotan populariti di kalangan masyarakat Melayu.

“Hari ini PKR tidak menikmati sokongan orang Melayu, beliau berpura-pura berminat terhadap Kampung Baru,” kata Raja Nong Chik.

“Tiada sebab lain, tetapi hanya mahu menjejaskan perpaduan di kalangan orang Melayu di Kuala Lumpur,” katanya lagi.

Bagaimanapun Raja Nong Chik menolak dakwaan Khalid berhubung kuasa Menteri Besar terhadap aspek pembangunan Kampung Baru.

“Beliau bercakap pasal soal sejarah. Jika anda mahu bercakap tentang sejarah, Selangor seharusnya masih berada di bawah kawalan Melaka,” katanya lagi.

Khalid akan berjumpa penduduk Kampung Baru.

Berhubung dakwaan Lembaga Pentadbiran Penyelesai Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru, Raja Nong Chik berkata perkara pembangunan terletak pada tangan pemilik tanah individu, bukannya badan itu.

“Dari sudut undang-undang mereka tiada hak tetapi kami tidak mahu menolak ke tepi sesiapa pun dalam soal perundingan,” kata beliau.

“MAS tidak boleh berbuat apa-apa, malah kerajaan juga tidak boleh buat apa-apa,” kata Raja Nong Chik.

Kata menteri, beliau telah mengadakan pertemuan dengan semua pihak yang berkepentingan termasuk MAS tetapi keputusan akhir terletak di tangan pemilik dan pewaris tanah.

“Kami tidak menjangkakan seratus peratus akan bersetuju, ia akan mengambil proses yang lama,” jelas beliau.

Terdahulu, Khalid memberitahu beliau akan mengadakan pertemuan dengan penduduk Kampung Baru bulan depan untuk menawarkan pelan alternatif kepada rancangan dibawa kerajaan pusat.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak memberitahu, beliau bercadang untuk meminta penduduk Kampung Baru agar menilai syor-syornya sebagai pilihan kepada pelan yang dikemukakan Putrajaya baru-baru ini.

Justeru kata beliau, biar penduduk Kampung Baru menilai syor yang pihaknya akan kemukakan.


Khalid memberitahu rancangan pembangunan semula disediakan kerajaan negeri Selangor adalah lebih baik berbanding cadangan kerajaan pusat.

Rabu lalu, MAS membantah penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) sekiranya ia tidak memasukkan ahli lembaga sebagai anggota perbadanan itu.

Pemangku Naib Yang Dipertua lembaga pentadbiran itu Mashuti Mat Soom berkata pihak lembaga berpendapat penubuhan PPKB tidak akan memberi kebaikan kepada pembangunan di situ dan sekali gus juga akan melupuskan lembaga pentabiran itu yang telah mentadbir kawasan tersebut selama 110 tahun.

Beliau berpendapat adalah tidak logik dengan sewenangnya hak mutlak yang diwarisi oleh orang yang terdahulu diserahkan kepada badan yang belum lagi terbukti kemampuannya.

Pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru pada Isnin lalu dilaporkan bersetuju dengan cadangan pembangunan semula kampung itu yang akan mengekalkan 100 peratus hak milik Bumiputera.

Persetujuan itu dilaporkan dicapai pada sesi perbincangan yang berlangsung antara Raja Nong Chik dengan 50 wakil persatuan mewakili pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru.

No comments

Powered by Blogger.