Lulus Lesen Judi Bola Sepak Bangkit Kemarahan Rakyat

KUALA LUMPUR 5 Jun - Persatuan Anak Melayu Selangor dan Wilayah Persekutuan mengutuk dan membantah dengan keras keputusan kerajaan persekutuan meluluskan lesen judi bola sepak Piala Dunia 2010 kepada syarikat Ascot Sports Sdn Bhd di bawah kumpulan Berjaya.

Dalam sidang media yang diadakan di Bangunan Yayasan Selangor, Kampung Baru hari ini, Exco PAMSWP Mohd Yusof Yahya menegaskan bahawa kelulusan lesen judi itu akan menyebabkan masyarakat terdedah kepada risiko penyakit sosial dan kerosakan institusi keluarga.

"PAMSWP meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menarik balik lesen judi yang akan menyebabkan banyak penyakit sosial seperti rompakan, samun dan pembunuhan.

"Kepincangan yang berlaku di dalam masyarakat adalah disebabkan oleh pendapatan negara diperolehi dari sumber yang tidak halal dan diberkati, katanya.

Pada sidang media itu beliau berkata ahli PAMSWP yang berada di seluruh Selangor dan Lembah Klang telah membuat panggilan telefon dan SMS bagi meminta pimpinan pertubuhan menyatakan pendirian dan menentang dengan keras tindakan tersebut.

"Kita juga akan menghantar memorandum kepada Mufti Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memohon dikeluarkan pekeliling berkaitan kesalahan aktiviti perjudian oleh umat Islam," ujar Yusof lagi.

Ketika diajukan soalan, sama ada pertubuhan tersebut akan turut serta di dalam kempen anti-judi yang diadakan oleh Pemuda Pakatan Rakyat, beliau berkata PAMSWP menyokong inisiatif berkenaan dan akan menghantar wakil pertubuhan tersebut untuk menyertai pelancaran kempen tersebut.

Beliau turut menyelar sikap media arus perdana yang seolah-olah menyokong dan mempromosi aktiviti perjudian apabila turut menyiarkan iklan berkaitan judi terutamanya di slot berita sukan.

"Pihak media tidak boleh hanya memikirkan keeuntungan (dari jualan ruang iklan) sahaja. Ramai yang membaca ruangan sukan ini, terutamanya kanak-kanak dan remaja yang terdiri dari keluarga kita sendiri.

"Kita juga akan bertemu dengan pertubuhan-pertubuhan Melayu dari negeri lain bagi membincangkan tindakan lanjut yang bakal diambil berkenaan isu ini.

PAMSWP merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mempunyai ahli berjumlah lebih 3000 orang ahli dan mempunyai cawangan di Klang, Kajang, Shah Alam serta di Sungai Besar.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.