Pantau Blog Pemimpin Parti - PAS P.Pinang

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

KOTA BARU: "Kawal atau mansuhkan terus blog pemimpin bermasalah", demikian gesaan perwakilan Pulau Pinang yang mahu kepimpinan PAS Pusat memantau perkembangan laman blog pemimpin mereka yang sering mencetuskan kontroversi.

Rosidi Husin berkata, kepimpinan parti perlu memandang serius perkara berkenaan bagi mengelakkan komen atau pandangan pemimpin tertinggi parti itu dijadikan bahan kontroversi media.

"Mungkin satu arahan tegas boleh dikeluarkan kepada pemimpin yang selalu buat masalah melalui tulisan mereka dalam blog.

"Mereka perlu berhati-hati, tapi kalau ia tetap berterusan mungkin boleh ambil tindakan untuk mansuhkan blog mereka," katanya pada sesi perbahasan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahuan PAS ke-56 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK) di sini hari ini.

Sejak kebelakangan ini blog dan laman sosial merupakan medium piliham bagi pemimpin-pemimpin politik termasuk daripada PAS untuk menyatakan pandangan dan komen mereka mengenai pelbagai isu.

Blog popular di kalangan pemimpin PAS antaranya ialah Naib Presiden, Datuk Tuan Man Tuan Ibrahim; Yang Dipertua PAS Shah Alam, Khalid Samad; Ahli Jawatankuasa Pusat, Datuk Husam Musa serta Ketua Dewan Pemuda, Nasrudin Hasan Tantawi.

Menurut Rosidi, kepimpinan PAS perlu berhati-hati kerana setiap pandangan yang diberikan boleh digunakan oleh pihak media hingga kadang-kala disifatkan sebagai pendirian parti.

"Apa yang ditulis dalam blog boleh diambil oleh pihak media sebab ia adalah terbuka, jadi kalau tulis komen-komen kontroversi... kami yang berada di bawah ini pening kepala nak menjelaskan kepada ahli akar umbi," katanya.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.