Penswastaan Pangkalan Udara TUDM Jejas Sistem Pertahanan Udara Negara?

Oleh Fazli Othman

KUALA LUMPUR 27 Jun - Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali mempersoalkan sama ada rancangan penswastaan Pangkalan Udara Sungai Besi bakal menjejaskan dan terputusnya sistem radar pertahanan udara di pusat operasi tentera udara (Potu).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam perbahasan pembentangan Rancangan Malaysia ke-10 Khamis lalu berkata rancangan penswastaan itu masih lagi dalam peringkat rancangan dan kajian.

"Sekiranya rancangan ini menjadi kenyataan, kementerian akan menentukan bahawa perpindahan Potu tidak akan sekali-kali menjejaskan sistem yang telah dibangunkan.

"Kementerian juga akan memastikan supaya perpindahan hanya akan dilaksanakan selepas segala tugas 'proofing' dan pentauliahan (commissioning) dijalankan," kata Ahmad Zahid.

Katanya lagi, sistem radar bersepadu yang telah dibangunkan tidak akan terjejas kerana TUDM telah mempunyai sistem yang 'redundant' (lebih) sebagai alternatif kepada sistem radar bersepadu negara.

Azmin juga meminta penjelasan berhubung prinsip kerajaan Umno-Barisan Nasional kononnya tidak akan dibangunkan tanah itu sehingga semua kemudahan ini disiapkan di lokasi yang baru.

"Maklumat yang saya perolehi, untuk menyempurnakan sistem radar di Potu ini sahaja dari segi pentauliahannya juga melibatkan masa lebih daripada 10 tahun.

"Itu untuk Potu. Maknanya tanah ini tidak akan dibangunkan dalam tempoh 10 tahun atau 20 tahun yang akan datang kerana perlu pentauliahan untuk buat ujian ketahanan(proofing) yang mengambil masa lebih10 tahun. Jadi apakah penjelasan menteri boleh membantu dalam perkara ini?" soal Azmin.

Beliau juga meminta Ahmad Zahid memberikan penjelasan berapa banyak siri perbincangan dan rundingan yang dilakukan oleh kerajaan dengan Tentera Udara DiRaja Malaysia yang menurut sumber hampir tidak ada perbincangan.

"Saya minta menteri,kalau boleh buat secara bertulis, tarikh perbincangan yang dilakukan di antara kerajaan dan juga Kementerian Pertahanan, khususnya TUDM," kata Azmin lagi.

Tambahnya lagi, apabila Pakatan Rakyat membongkarkan perancangan kerajaan Umno-BN untuk menggadai markas ketahanan negara iaitu Potu, menteri tampil menyatakan ini masih lagi dalam peringkat perancangan dan kajian sedangkan dalam majalah ekonomi termasuk The Edge, pengumuman telah pun dibuat oleh beberapa syarikat besar tentang penganugerahan kontrak yang besar ini kepada mereka.

No comments

Powered by Blogger.