Persiapan perlu rapi sebelum ke Putrajaya

Izwan Abdul Halim

KOTA BHARU, 11 Jun: Hasrat PAS untuk menuju ke Putrajaya perlu disusuli dengan persiapan
secara bersungguh-sungguh sehingga ia mampu menjadi kenyataan.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, banyak orang mempunyai
cita-cita besar tetapi ia sekadar angan-angan sahaja.

Beliau berkata, untuk menjadikan cita-cita itu kenyataan, perlu tindakan dilakukan bagi
memperkukuhkan PAS itu sendiri.

Ketika membahaskan ucapan dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-56 di Pusat
Tarbiyyah Islamiyyah Kelantan, Pengkalan Chepa, petang tadi katanya usaha memperkasakan ahli
di seluruh peringkat parti perlu dilakukan.

Katanya juga berlaku peningkatan jumlah cawangan dan ahli PAS sekarang, namun beliau khuatir
kemasukan itu sekadar ikutan sahaja tanpa ada alasan yang kukuh.

"Parti perlu susun program kefahaman khusus kepada ahli baru. Kita tidak mahu yang masuk
terikut kawan atau sahabat, atau seronok ramai masuk PAS dia masuk PAS. PAS perlu merancang
perkara ini," ujar beliau.

Selain itu katanya, ahli lama pula perlu diberi perhatian dari segi meningkatkan kefahaman
semasa mereka kerana senario politik sekarang amat berbeza.

Beliau berkata, jangan pula dilupakan orang yang telah berjuang bersama kita kerana terlalu
asyik dengan rakan-rakan baru.

Kata beliau dahulu PAS bersendirian tetapi kini bersama rakan dalam Pakatan Rakyat.

Katanya, perubahan yang berlaku itu perlu difahami dan dasar-dasar parti wajib terus
dipertahankan.

Bagi melaksanakan usaha ke arah itu katanya, ia memerlukan usaha yang tersusun dan
terancang.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.