Perwakilan PAS: Nik Aziz harus jadi Mursyidul Am Pakatan

Oleh G. Manimaran


KOTA BARU, 12 Jun — Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menerajui pentadbiran kerajaan negeri sejak dua dekad lalu wajar dilantik sebagai Mursyidul Am Pakatan Rakyat.

Saranan itu dikemukakan oleh perwakilan Perlis, Wan Khaisal Wan Khazim dalam perbahasannya pada hari kedua Muktamar Tahunan PAS Ke-56 di sini hari ini.

Perwakilan itu berkata, Nik Aziz, 79, wajar diberikan pengiktirafan itu memandangkan beliau sudah boleh diterima oleh semua pihak tanpa mengira agama dan kaum.

“Ahli-ahli perlu mengikuti bentuk kepimpinan Nik Aziz. Justeru itu saya merasakan beliau patut (dilantik) menjadi Mursyidul Am kepada Pakatan Rakyat,” katanya.

Nik Aziz dilantik semula sebagai Mursyidul Am PAS untuk tempoh lima tahun lagi April lalu.

Akhir tahun lalu, anggota Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Zaid Ibrahim ada mengesyorkan agar Nik Aziz menjadi ketua atau sebagai pengerusi Pakatan Rakyat pertama.

Saranan Zaid itu juga disokong oleh Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.

Bagaimanapun ada pandangan yang sebaliknya berhubung syor tersebut.

Mustafa mengakui bahawa Nik Aziz adalah antara ikon penting yang mengikat parti-parti dalam Pakatan Rakyat dan jika cadangan Zaid itu boleh diterima oleh lain-lain pimpinan Pakatan, beliau menyokong cadangan itu. “Bagaimanapun ia hendaklah mendapat sokongan dari semua pimpinan Pakatan terlebih dahulu,” kata Mustafa.

Sebelum ini, Zaid bersama lima lagi pemimpin Pakatan iaitu dua dari setiap parti mendaftarkan secara rasmi Pakatan Rakyat sebagai sebuah parti politik dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Pelantikan itu wajar selepas permohonan Pakatan Rakyat diterima oleh RoS, katanya.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.