Program Temu Rapat KEADILAN Jana Formula Tawan Putrajaya

Oleh Sidiqin Omar

SHAH ALAM 27 Jun - Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat KEADILAN, Fuziah Salleh menjelaskan program 'retreat' yang diadakan oleh parti akan membincangkan perkara yang kritikal dan penting bagi menjana formula kemenangan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-13 kelak.

"Perbincangan ini dilakukan dengan menggabungkan kesemua pemikir parti yang terdiri daripada Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri KEADILAN serta Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri dari seluruh negara," katanya kepada Suara Keadilan ketika ditemui semasa sesi rehat.

"Program 'brainstorming' merupakan 'kick-off' kepada gerak kerja parti dan kami akan memfokuskan kepada persediaan dan strategi sebagai langkah awal. Ahli-ahli di seluruh negara diharap bersiap sedia untuk mendapat maklumat daripada pimpinan masing-masing dan menggerakkan usaha untuk menjalankan program yang telah diatur," jelas Ahli Parlimen Kuantan itu.

Program 'retreat' yang diselenggarakan oleh Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat KEADILAN itu diadakan pada selama dua hari bermula semalam yang turut dihadiri Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Antara moderator yang mengelolakan sesi perbincangan yang diatur sepanjang 'retreat' tersebut terdiri daripada ahli jawatankuasa Biro Politik termasuk Datuk Johari Abdul, William Leong, Sharifah Shahidah, Raden Shamsul Kamal selain Fuziah sendiri.

Fuziah mengingatkan kepada pimpinan Cabang dan Ranting yang masih 'tidur' untuk segera bangkit dan mengaktifkan jentera politik di kawasan masing-masing.

Beliau mendedahkan bahawa Parlimen boleh dibubarkan pada bila-bila masa selepas Mac 2011 dan persediaan awal diperlukan bagi mengelakkan beban kerja pada masa akan datang.

"Sekarang kita dalam 'gear' tinggi. Jadi mereka (pimpinan Cabang dan Ranting) ada pilihan. Sama ada 'berubah' atau 'diubah'.

"Sekarang adalah masa yang sesuai bagi jentera untuk bersedia bagi mengimplementasikan gerak kerja, menyusun dan memastikan persiapan rapi tugas-tugas. Tidak semestinya mereka yang berjawatan sahaja melakukannya, tetapi ahli biasa tanpa jawatan, bahkan sukarelawan turut dialu-alukan," ujar Fuziah lagi.

Ditanya mengenai fokus kepada golongan muda yang layak untuk mengundi berjumlah kira-kira 4.5 juta di negara ini, Fuziah menjelaskan pihaknya kini aktif menjalankan program dan berkempen bagi menggalakkan pendaftaran pemilih baru.

Namun wujud halangan terutamanya daripada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Terbaru, mereka membekukan jawatan penolong pendaftar. Setiap parti dibenarkan untuk melantik dua orang pegawai bagi setiap Dewan Undangan Negeri. Jadi kami mengalami kesukaran, bahkan untuk mengambil borang pendafaran pengundi pun tidak mudah sekarang ini," jelasnya.

Beliau menuntut SPR bersikap profesional dengan menyediakan 'padang yang rata' untuk setiap parti politik yang bertanding.

Tekanan dan desakan oleh pelbagai pihak terutamanya parti politik, NGO dan orang ramai akan memberikan kesan kepada struktur dan budaya perjalanan pilihan raya di negara ini.

"Tuntutan Bersih dahulu perlu digerakkan semula, terutamanya mengenai penggunaan dakwat kekal, pembersihan senarai nama pengundi, dan akses kepada media. Jadi proses untuk menggerakkan kempen bagi Bersih 2.0 telah pun dimulakan," katanya.

No comments

Powered by Blogger.