Rakyat Makin susah Ambil Lesen Memandu

Oleh: rozmal

"Saya mengambil lesen memandu semasa di Amerika Syarikat dulu. Begitu mudah dan murah sekali, walaupun saya rakyat asing di sana. Tak perlu hadir kuliah berjam-jam, tak perlu buat temu janji untuk ujian memandu. Walaupun mudah dan murah ambil lesen di sana, rata-rata pemandu di sana lebih berhemah dari kita di Malaysia.

Nak ambil lesen L di sana cukup mudah dan murah. Pergi ke pejabat DOT atau JPJ di sana. Ambil ujian objektif 25 soalan. Tak silap saya kalau betul 20 soalan dah lulus lesen L. Boleh terus dapat lesen L dan terus memandu, dengan syarat ada orang yang berlesen di sebelah. Dan bayaran lesen L ni hanya USD 20.



Kalau gagal ujian objektif. Boleh datang keesokan hari. Dia akan beri set soalan yang lain. Ada 3 set soalan tak silap saya, A , B dan C. Setiap set lebih kurang sama je soalannya. Kalau gagal lagi boleh ulang lagi keesokan hari.

Nak ambil lesen memandu pula, lepas dapat lesen L, terus juga pergi pejabat DOT. Untuk ujian memandu. Kalau lulus, bayar USD 20 dan terus boleh memandu. Kalau gagal datang keesokan harinya, sampailah lulus. USD 20 sah untuk tiga tahun.

Mudah dan murah kan dapat lesen memandu di sana. Kemudian saya tengok sekali lagi laman web DOT terkini, tak banyak perubahan, masih sama sistemnya dan kosnya http://www.iowadot.gov/mvd/ods/types.htm ( C (Non-commercial-Operator) 16 2 Years , 5 Years, Knowledge, Vision, Driving $8 $20 )

TAPI PELIK di Malaysia ni. Makin lama makin mahal dan makin susah nak ambil lesen memandu. Kerajaan, Menteri Pengangkutan dan Pengarah JPJ cik abang oi, pemandu kita makin beradab ke di jalanraya bila makin susah ambil lesen ni ? Remaja bawah umur tanpa lesen akan berkurangan ke dengan sistem semakin susah dan mahal ini ? Orang dewasa tanpa lesen akan berkurangan ke ?

Apa nak di kata, kita rakyat ni umpama mentimun je. Di gelek ke , menggelek ke, kita terpaksa terima sajalah apa sahaja keputusan yang dibuat. Mahal mahal-lah apa nak buat. Kalau tak mampu tak payahlah ambil lesen, pandu sahajalah, kalau kena tangkap sendirilah tanggung.

Rasuah akan berkurangan atau bertambah ke kalau makin susah rakyat nak ambil lesen memandu ni ?

Artikel sebelum ini :

Semakin ramai remaja bawah umur memandu tanpa lesen di http://waghih.blogspot.com/2010/05/remaja-johor-14-tahun-nasib-baik-tak.html

Kehidupan rakyat 1Malaysia makin susah http://waghih.blogspot.com/2010/03/kehidupan-rakyat-1malaysia-makin-susah.html

*************************

KOS BELAJAR MEMANDU DINAIKKAN ?

Utusan Malaysia TAPAH 30 Mei – Kos belajar memandu mungkin akan dinaikkan apabila Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperkenalkan kurikulum pembelajaran yang baru pada hujung tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Solah Mat Hassan (gambar) berkata, kenaikan harga itu tidak dapat dielakkan kerana ia bertujuan meningkatkan kualiti pemanduan bakal pemandu baru di negara ini.

Katanya, walaupun kenaikan kos itu akan menimbulkan perdebatan di kalangan masyarakat namun negara masih mengenakan bayaran paling rendah bagi mendapatkan lesen memandu. “Apabila kita perkenalkan kurikulum baru ini, saya jangkakan pasti ada kenaikan kos. Kenaikan harga untuk mendapatkan lesen ini memang akan berlaku kerana kita pentingkan kualiti cara pemanduan.

“Kita perlu membelanjakan lebih sedikit untuk mendapatkan sesuatu yang baik dan berkualiti,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penutupan Program Satu Komuniti satu JPJ Bersama Masyarakat Orang Asli kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang, Datuk Dr. Mah Hang Soon; Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Salim Parlan dan Pengarah JPJ Perak, Jaafar Mohamed. Solah menambah, kurikulum baru itu selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendidik dan membentuk pemandu berhemah di negara ini.

Katanya, ia melibatkan jumlah masa belajar memandu, pemilihan spesifik kenderaan, elemen ujian memandu serta kelas lesen memandu dan cara mendapatkan lesen memandu. Beliau memberitahu, kurikulum baru yang diberi perubahan untuk kali ketiga itu kini dalam peringkat akhir pelaksanaan.

Jelas Solah, ia melibatkan kajian dan kerjasama dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan beberapa ahli akademik. “Kita akan laksanakan kurikulum baru ini secepat yang mungkin. Perubahan yang akan dibuat melibatkan perubahan dalam aspek latihan dan ujian.

“Kali ini kita ada kumpulan penyelidik yang menjalankan kajian bagi merangka draf. Perubahan bukan dibuat dengan sewenang-wenangnya, tetapi melibatkan pelbagai kajian,” katanya. Pada majlis tersebut, seramai 585 peserta Orang Asli menerima Lesen Memandu Percubaan Motosikal B2 secara sah. Di bawah program Satu Komuniti Satu JPJ, semua masyarakat Orang Asli berumur 21 tahun dan ke atas hanya dikenakan RM100 untuk mendapatkan lesen memandu percubaan tersebut.

Program tersebut bermula 27 Mac lalu dan semua kursus, latihan serta ujian dijalankan oleh anggota serta kakitangan JPJ.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0531&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_08.htm


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.