Rencana kami di Sinar Harian: Judi Bola – Begitu Terdesakkah Kita?

oleh Nurul Izzah Anwar dan Nik Nazmi Nik Ahmad

Keputusan Kerajaan Persekutuan yang ingin membenarkan perjudian sukan menjelang Piala Dunia 2010 menimbulkan banyak persoalan. Pengumuman Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin baru-baru ini menimbulkan andaian keadaan kewangan kerajaan terlalu terdesak sehingga terpaksa memikirkan sumber-sumber yang menimbulkan implikasi sosial bagi menjana pendapatan.

Jelas sekali bagi umat Islam judi adalah haram.

Dalam Surah al-Maidah ayat ke-91 Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)? ”

Logik kerajaan adalah amalan judi haram berleluasa, maka dengan melesenkan judi sukan ini akan mengurangkan amalan judi haram. Menggunakan logik itu, adakah kerajaan berhasrat ‘menghalalkan’ masalah sosial yang lain atas dasar amalannya berleluasa? Mungkin Kerajaan Persekutuan melihat model di sesetengah negara Barat yang melesenkan aktiviti pelacuran mahupun ‘menghalalkan’ kegiatan dadah ringan dengan alasan menjamin kesihatan pelacur dan penagih dadah memandangkan aktiviti ini wujud di mana-mana sahaja.

Ya, memang aktiviti judi beroperasi di negara kita menurut peruntukan undang-undang yang sedia ada. Pada zaman 1960an ketika Lee Kuan Yew belum bersedia membuka Singapura kepada kasino, Kerajaan Perikatan telah membenarkan pembinaan kasino Genting Highlands.

Di Selangor, premis perjudian berlesen tidak berubah dengan ketika zaman Barisan Nasional (BN) mentadbir Kerajaan Negeri. Sebaliknya, kerajaan BN telah menyuburkan lagi amalan judi sejak dua tahun kebelakangan ini. Pada Oktober 2008, sejurus dilantik menjadi Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan 30 cabutan tambahan untuk semua syarikat loteri di negara kita.

Kini, timbul pula dasar meluluskan lesen perjudian sukan.

Tentu kita masih ingat kesan insiden rasuah bola sepak tahun 1994-1995 yang meninggalkan kesan negatif kepada bola sepak negara hingga hari ini. Kira-kira 100 orang ditangkap termasuk pemain bola sepak kebangsaan. Tahun 2008, Timbalan Presiden FAM Khairy Jamaluddin mengumumkan beberapa pemain tempatan dipanggil memberi keterangan berikutan dakwaan rasuah bola sepak kembali menular.

Sebab itu legenda bola sepak negara, Abdul Ghani Minhat baru-baru ini turut menyuarakan kesedihannya dengan keputusan membenarkan perjudian sukan.

Walaupun amalan perjudian sukan berleluasa di Eropah, Amerika Syarikat mengharamkan aktiviti ini di kebanyakan negeri menerusi Professional and Amateur Sports Protection Act 1992. Baru-baru ini National Collegiate Athletic Association yang mewakili persatuan sukan kolej dan universiti di Amerika telah mengancam untuk menghentikan sebarang perlawanan di negeri-negeri yang cuba melesenkan perjudian sukan.

Keadaan ekonomi hari ini, meluaskan aktiviti judi menimbulkan kesan negatif khususnya kepada golongan berpendapatan rendah.

Bapa Nazmi, seorang pesara kerajaan, mengisahkan perbincangan antara Menteri Kewangan Tun Tan Siew Sin dan Timbalan Perdana Menteri Tun Dr Ismail Abdul Rahman pada awal dekad 70-an yang beliau hadiri sebagai pegawai. Tan Siew Sin mahu meluaskan operasi mesin slot di kedai-kedai biasa bagi meningkatkan hasil kerajaan. Dr Ismail dengan tegas menolaknya.

Sudahlah begitu, lesen perjudian sukan ini diberikan khas kepada Kumpulan Berjaya menerusi Ascot Sports yang dikuasai Tan Sri Vincent Tan. Ascot Sports sudah diberikan lesen ini pada 1987 dan diperbaharui pada tahun 2003 tetapi tidak diperbaharui ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.

Tindakan ‘menghalalkan’ amalan ini secara tergesa-gesa dalam masa beberapa hari sahaja sebelum Piala Dunia menggambarkan sebab sebenar keputusan ini. Kita begitu terdesak, sehingga sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapat keuntungan jangka pendek.



Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.