RMK10: Ekonomi Malaysia kekal di takuk lama

Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 10 Jun: Melihat kepada inti Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10), Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) petang tadi tidak menolak kemungkinan bahawa pemacuan ekonomi negara diramalkan kekal terperangkap di takuk yang lama, iaitu ekonomi berprestasi sederhana.

Ini kerana, menurut beliau, pembentangan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan di Dewan Rakyat pagi tadi langsung tidak mencerminkan bahawa kerajaan mempunyai iltizam politik untuk memulihara kebebasan mahkamah, demokrasi serta integriti dalam urus tadbir negara.

"RMK10 ini mungkin akan terus memerangkapkan kita (kerajaan) pada ekonomi berpendapatan sederhana, bukan ekonomi berprestasi tinggi seperti yang dicanangkan oleh Datuk Seri Najib.

"Asasnya di sini kerana tidak ada iltizam politik oleh kerajaan beliau (Najib) untuk pulih negara," ujar beliau di lobi Parlimen.

Beliau yang juga AJK PAS Pusat turut menganggap pelan ekonomi yang dirancang Najib masih terlalu bergantung kepada sumber bahan mentah, bukannya sektor perkhidmatan atau sumber-sumber yang diperbaharui.

Anggapan tersebut, menurut beliau, merujuk sumber minyak petroleum, gas dan kelapa sawit yang menjadi dua sasaran utama dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

"Salah satu masalah kita adalah kebergantungan pada minyak dan gas di mana KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) kita sekarang, iaitu (sebanyak) 48 peratus daripadanya adalah minyak dan gas," ujar beliau.

Disebabkan itu, RMK10 bagi beliau, sepatutnya kembali pada asas terpenting ekonomi, iaitu produktiviti.

"Perlu kembali pada asas ekonomi (iaitu) produktiviti, selain kerajaan perlu iltizam politik," ujar beliau.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.