Selepas Tony Phua, Nurul Izzah Cerita Pengalaman Isu Borang SPR

Selepas rungutan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar pula menceritakan pengalaman beliau berdepan situasi kekurangan borang pendaftaran pemilih baru kepada TV Selangor.

"Saya minta (borang) untuk tiga program di peringkat Lembah Pantai. Saya minta borang untuk mendaftarkan pengundi baru. Saya mahu 1,000 borang kerana kita buat taklimat besar-besaran untuk membantu SPR mendaftarkan pengundi baru," katanya


Semalam, Tony Phua mendedahkan, SPR Selangor hanya memberi 1,000 borang kepada penolong pendaftar di Selangor bagi membantu memudahkan tugas SPR mendaftarkan pengundi baru di negeri itu.

Tony Phua juga mendakwa, ia ada kaitan rapat dengan usaha mengekang kemaraan pengundi baru di Selangor.

"Memang jelas ada satu langkah yang dibuat oleh SPR untuk mengehad jumlah borang kepada ahli parlimen dan parti pembangkang kerana apabila Umno membuat program, mereka mempunyai banyak borang untuk digunakan," katanya.

Kata Nurul Izzah, beliau difahamkan borang yang sudah siap diisi juga adakalanya tidak sampai ke tangan SPR.

"Kita mesti faham, daripada borang yang diberi di peringkat kerajaan Selangor, pendaftaran pengundi, borang yang diberi di peringkat wilayah dan parti pembangkang, tidak ada jaminan bahawa 100 peratus akan diterima SPR," katanya.

Ahli Parlimen Jerai, Firdaus Jaafar pula berkata, SPR gagal mengotakan kata-katanya dengan tidak menyediakan borang secukupnya walaupun kerap menghebahkan, ramai pengundi baru belum mendaftar sebagai pemilih.

"Seringkali SPR menyebut beberapa angka, ratusan ribu gagal mendaftar sebagai pemilih. Jadi, saya yakin Pakatan Rakyat berusaha dengan pelbagai cara melalui saluran parti masing-masing untuk mendaftar.

"Selaku pengarah pilihanraya, saya kesal dan rasa tidak puas hati. Sepatutnya, SPR boleh menyediakan seramai mungkin, sebanyak mungkin borang untuk keperluan parti di seluruh negara," katanya.

Di Selangor, kira-kira 2 juta pengundi baru belum mendaftar. Sehubungan itu, Kerajaan Selangor sejak tahun lalu menganjurkan kempen Jom Daftar Undi.TVSelangor

No comments

Powered by Blogger.