SESI PENDENGARAN AWAM ISU KSSB BUKTI KETELUSAN PENTADBIRAN KERAJAAN SELANGOR

KENYATAAN AKHBAR
5 JUN 2010
SESI PENDENGARAN AWAM ISU KSSB BUKTI KETELUSAN PENTADBIRAN KERAJAAN SELANGOR

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) kerana telah berjaya menjalankan sesi pendengaran awam bagi menyiasat dakwaan berlaku penyelewengan dalam industri perlombongan pasir di Selangor.

Kerajaan Negeri juga menghargai kerja sama semua pegawai dan kakitangan kerajaan dan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dalam memberikan keterangan di depan Ahli Panel Selcat.

Pendengaran awam tersebut telah menolong menjelaskan banyak isu yang tertimbul berkenaan industri perlombongan pasir termasuklah kes mencuri pasir dan pengurusan KSSB – anak syarikat milikan penuh Menteri Besar Diperbadankan (MBI).

Mengikut keterangan yang diberi, adalah jelas mencuri pasir galian di Selangor ini telah berlaku sejak sekian lama sebelum Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri.
KSSB ditubuhkan untuk memulangkan hasil semula jadi Selangor kepada rakyat melalui program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES). Sebelum KSSB, kerajaan negeri hanya dapat mendapat pulangan daripada royalti penjualan pasir .

Tetapi dengan KSSB yang yang berfungsi mengawal aktiviti mengorek dan menjual pasir di Selangor, rakyat dapat menikmati royalti dan keuntungan dari penjualan pasir. Kehadiran KSSB juga telah mewujudkan pasaran pasir yang stabil dan mampu memenuhi permintaan terhadap pasir yang meningkat dari semasa ke semasa.

Keberkesanan sebenar tindakan yang dibuat Kerajaan Negeri boleh dinilai dengan membandingkan kutipan perolehan diantara pentadbiran Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.
Mengikut rekod yang diberikan pada Selcat, di bawah kerajaan BN, kutipan royalti pasir yang diperolehi adalah sebanyak RM3.4 juta pada 2005 dan 2006, manakala pada 2007 sebanyak RM2.9 juta.

Selepas Pakatan Rakyat mengambil alih, hasil ini meningkat hampir tiga kali ganda iaitu sebanyak RM6.3 juta pada 2008 dan RM5.4 juta pada 2009. Walaupun ada penurunan kutipan royalti pada 2009, angka itu dua kali ganda lebih tinggi berbanding di bawah kerajaan BN.

Fakta ini sekaligus menunjukkan betapa ceteknya minda seorang pemimpin Umno yang mendabik dada mendakwa pendapatan pasir pada 2007 dibawah Barisan Nasional telah kononnya mencecah RM21.5juta! Adalah jelas sekarang bahawa angka tersebut sebenarnya termasuk hasil perlombongan kuari dikawasan hutan simpan di Selangor. Adakah mungkin beliau tidak tahu perbezaan antara perlombongan pasir dan kuari?

Mengenai isu aktiviti melombong dan menjual pasir secara haram, Selcat telah mendengar bahawa ini adalah bukan perkara baharu. Sebelum ini jenayah ini tidak pernah dibangkitkan oleh pentadbiran BN kerana aktiviti itu menjadi menjadi sumber kewangan kepada pihak tertentu untuk kepentingan peribadi dan kepartian.

Namun apabila Kerajaan Pakatan Rakyat berjaya mendapat perolehan yang tinggi dan diguna pula untuk program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), rakyat lebih peka dengan kejadian curi pasir.

Kerajaan Negeri berusaha sedaya upaya untuk mengelak kecurian pasir namun sedar seperti jenayah lain, ianya tidak boleh dihapuskan sepenuhnya. Jawatankuasa khas yang diketuai Setiausaha Negeri akan bekerja keras melalui mesyuarat mingguan bagi meningkat strategi keselamatan dalam membanteras kejadian curi pasir.

KKSB juga akan menolong mengurangkan jumlah lombong pasir haram dengan mengawal pemberian lesen dan hanya mengeluarkan lesen secara tender terbuka kepada kontraktor yang layak.

Menyentuh isu pemberian bonus kepada pegawai dan kakitangan KSSB, Kerajaan Negeri peka dengan sentimen rakyat dan akan lebih berhati-hati dalam membuat keputusan dalam pemberian insentif pada masa hadapan.

Sesi Pendangaran Awam oleh Selcat juga membuktikan Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor tidak akan melindungi jika ada sebarang penyelewengan dan salah guna kuasa selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri terhadap prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban.

TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
MENTERI BESAR SELANGOR


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.