Sime Darby, Pos Malaysia Diminta Perjelas Kerugian Kepada Parlimen

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil pihak pengurusan Sime Darby Sdn Bhd dan Pos Malaysia Bhd bagi memberi penjelasan berhubung kerugian kedua-dua syarikat itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Azmi Khalid berkata, kedua-dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu dijangka dipanggil pada minggu kedua persidanganParlimen yang akan bermula 7 Jun ini.

"Kita buat keputusan untuk panggil kedua-dua syarikat ini memandangkan isu ini mempunyai kepentingan awam.

"Kita tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam kedua-dua syarikat ini, tetapi memandangkan ia kes berprofil tinggi dan mendapat liputan meluas oleh media, jadi kita perlu panggil mereka untuk beri penjelasan ," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Sime Darby dilaporkan mengalami kerugian lebih RM1.6 bilion akibat daripada lebihan kos dalam projek kendaliannya, dan berikutan itu, Datuk Seri Ahmad ZubirMurshid, yang kontraknya sebagai Ketua Eksekutif Kumpulan sepatutnya berakhirpada 26 Nov ini, telah diminta bercuti. Pos Malaysia pula dilaporkan mengalami kerugian RM227 juta sejak beberapa tahun lalu. Azmi tidak menolak kemungkinan akan memanggil pengurusan Khazanah Nasional Berhad berdasarkan penglibatannya dengan Pos Malaysia.

Ditanya sama ada PAC bersetuju tindakan Sime Darby mengarahkan Ahmad Zubir supaya bercuti, Azmi berkata : "Itu bukan urusan kami. Kami belum merumuskan apa-apa, kami hanya ingin tahu fakta dan apa yang sedang berlaku dalam syarikat itu." Azmi juga berkata, jawatankuasa itu hampir selesai menyiapkan laporan berhubung projek landasan berkembar elektrik kereta api antara Rawang dan Ipoh yang menelan belanja hampir RM1.43 bilion, iaitu 32.9 peratus lebih tinggi daripada nilai kontrak asal. Ia juga hampir menyiapkan laporan mengenai Syarikat Prasarana Negara Bhd (SPNB) berhubung prosedur pelupusan aset oleh syarikat tersebut termasuk rancangannya untuk melupuskan 1,139 unit badan bas yang tersadai di depot bas di Serendah dan Sungai Buaya. - BERNAMA


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.