Tidak wajar ubah gandingan Hadi, Nasha sekarang

Oleh G. Manimaran


KOTA BARU, 9 Jun — Dewan Pemuda PAS tidak mahu barisan kepimpinan semasa parti itu, yang dipilih genap setahun yang lalu termasuk Timbalan Presidennya Nasharudin Mat Isa, ditukar atas alasan wujudnya masalah dalaman komponen Pakatan Rakyat tersebut.

Sambil menolak tanggapan wujudnya masalah antara penyandang jawatan nombor satu dan dua, Dewan Pemuda PAS bertegas pertemuan tahunan kali ini bukan masa yang sesuai ke arah itu.

“Dewan Pemuda PAS menyokong barisan kepimpinan parti semasa,” kata Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat Kamaruzzaman Mohamad kepada The Malaysian Insider di sini malam tadi.

Alasan beliau ialah pucuk kepimpinan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya tidak berhadapan dengan masalah dan “merupakan gandingan cukup baik.”

“Tiada isu, tiada sebarang masalah... gandingan itu cukup baik,” katanya lagi.

Bekas Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan itu menambah, sebarang perubahan yang ingin dibawa tidak diperlukan sekarang — ketika muktamar tahunan kali ini — memandangkan tiada “masalah besar” di bawah kepimpinan Hadi dan Nasharudin.

“Kami hanya akan meminta perubahan jika ada masalah besar. Buat masa sekarang, kami akan menyokong kepimpinan yang dipilih oleh muktamar, tidak kira siapa,” kata beliau ketika meninjau persiapan menjelang majlis perasmian mutkamar ketiga-tiga sayap di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa dekat ini.

Dewan Pemuda PAS juga katanya, sentiasa menerima arahan-arahan dan panduan dikeluarkan oleh presiden dan timbalan presiden dari semasa ke semasa untuk dilaksanakan.

“Presiden dan timbalan presiden komited... saya lihat tiada masalah,” kata beliau mengulas desas-desus gandingan Hadi dan Nasharudin dilihat longgar sejak kebelakangan ini.

Dalam pertemuan kelmarin, Dewan Muslimat PAS juga menganggap presiden dan timbalan presiden parti itu tidak berhadapan dengan masalah besar dalam menyediakan kepimpinan masing-masing sebagai orang nombor satu dan dua entiti politik tersebut.

Bagaimanapun menurut Ketua Dewan Muslimat, Nuridah Mohd Salleh, kemungkinan ada di antara presiden dan timbalan presiden tidak menonjol.

“Ya saya tengok OK, tiada masalah... tiada masalah, melainkan kalau ada yang tidak menonjol,” kata beliau.

Kamaruzzaman dan Nuridah ditanya sama ada kemungkinan akan ada usul pada muktamar tahunan parti tersebut, menyentuh hubungan dan gandingan kedua-dua presiden dan timbalan presiden.

The Malaysia Insider dalam laporannya Isnin lalu menyebut Muktamar Tahunan PAS kali ini di sini tidak melibatkan pemilihan, tetapi ia disebut-sebut akan tetap panas lagi menarik tumpuan dengan focus terhadap keberkesanan kepimpinan barisan kanan sebagai persiapan menghadapi pemilihan tahun depan dan juga pilihan raya umum ke-13.

The Malaysian Insider difahamkan pemimpin yang akan menjadi tumpuan dan berada dalam senarai teratas sebutan perwakilan ialah Nasharudin, yang menewaskan dua pesaingnya dalam pemilihan setahun lalu.

Pada Jun lalu, Nasharudin dengan mudah mengetepikan kedua-dua naib presiden ketika itu Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu.

Seorang perwakilan mendakwa keberkesanan gandingan Presiden dan Timbalan Presiden PAS akan disentuh memandangkan ada pihak dalam parti berpendapat bahawa Nasharudin, yang juga Ahli Parlimen Bachok, tidak memainkan peranan sebagai gandingan secara berkesan kepada orang nombor satu sejak dipilih semula sebagai timbalan presiden tahun lalu.

Perkara itu dibangkitkan oleh beberapa kawasan PAS sambil mengaitkan dengan isu idea kerajaan perpaduan dengan Umno-BN.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.