Air Dan Pasir Tidak Jejas Kerajaan Selangor

Serangan bertalu-talu terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat yang mentadbir Selangor dilihat sebagai tindakan terdesak Umno-Barisan Nasional bagi merampas kembali setelah rakyat menolaknya pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Pelbagai isu diutarakan seperti air dan pasir bagi menunjukkan kelemahan, padahal isu-isu ini adalah tinggalan pemerintah dahulu yang cuba diperbetulkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat kini.

Wartawan Suara Keadilan, Frederick Luccas menemu ramah Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), Shuhaimi Shafiei yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Muda bagi penjelasan lanjut.


Berkenaan isu air yang dilihat cuba dipolitikkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Umno-Barisan Nasional (BN), apa pendirian kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor dalam hal ini?

Terus terang saya katakan, Syabas ini diwujudkan hanya untuk mengisi kepentingan Umno-BN dan kroninya, tidak lain dan tidak bukan daripada sebagai ‘bank tetap’ untuk kepimpinan Umno.

Ini adalah sesuatu yang tidak munasabah jika dikatakan mereka (Umno) tidak tahu kesan apabila menswastakan air kepada Syabas di mana kadar dinaikkan setiap tahun.

Kerajaan negeri telah mengambil tindakan yang betul dengan menghalang kenaikan tarif air yang sehingga 37 sen. Walaupun kita tahu permasalahan ini adalah rentetan daripada anugerah projek kerajaan Umno-BN kepada kroni Umno-BN dahulu, tetapi malangnya tidak banyak yang dapat dibuat oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor kerana terikat kepada Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air 2006 (SPAN).

Kita boleh membuat proses tawar-menawar dengan empat pihak yang membekalkan air di negeri Selangor dan juga berunding dengan Kerajaan Pusat, tetapi saya lebih percaya Kerajaan Pusat tidak mahu menyelesaikan perkara ini.

Mereka hanya berminat untuk terus mengekalkan Syabas sebagai ‘bank tetap’ mereka dan pada masa yang sama mengikis kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan Pakatan. Maka isu ini dibiarkan berlarutan dan mereka menggunakan apa jua ruang yang ada agar dapat menghalang hasrat kerajaan negeri mengambil alih konsesi air di Selangor.

Motifnya hanya berunsurkan politik, dan saya menyeru kepada kerajaan negeri agar faham akan keadaan ini, dan perkara ini tidak boleh lagi ditangguhkan kerana ia akan memberikan kesan buruk kepada rakyat. Jika kerajaan negeri perlu mengambil satu tindakan yang lebih radikal, kita perlu buat.

Dalam dua tahun pentadbiran di Selangor, cukup untuk kita mengecam perbuatan yang boleh dikategorikan sebagai sabotaj yang dilakukan oleh pihak tertentu yang berada dalam kerajaan negeri. Ini tidak patut dibenarkan berterusan kerana akan menjejaskan kerajaan negeri Selangor.

Apa reaksi Pakatan Rakyat berkenaan kenyataan Syabas bahawa mereka mungkin akan menyaman kerajaan negeri Selangor?

Pada pandangan saya, Syabas hanya menggunakan skrip yang ditulis oleh mereka yang berkepentingan, skrip ini disusun sebegitu rupa supaya setiap langkah akan diikuti dengan langkah tertentu untuk menekan kerajaan negeri.

Ini satu perang psikologi dengan kerajaan Pakatan Selangor, yang mereka rancang dengan baik. Pihak kerajaan negeri harus menyedari akan pelan sebegini dan kita tidak boleh lagi bersikap mempertahankan diri, sebaliknya perlu mengambil posisi menyerang supaya serangan yang dilakukan terhadap kita tidak dapat dilaksanakan kerana kita terlebih dahulu menyerang mereka.

Pada saya, jalan terbaik adalah untuk mendedahkan perjanjian pihak Syabas dengan pihak-pihak lain. Walaupun mahkamah tidak membenarkan perjanjian didedahkan, tetapi kita ada cara lain untuk menjadikan pendedahan ini realiti agar rakyat Selangor tahu kebenaran dan tidak terus tertipu dengan propoganda Umno-BN.

Apa status sebenar projek bekalan air Pahang-Selangor yang melibatkan kos RM40 bilion, sedangkan Menteri Besar telah menegaskan bekalan air cukup sehingga 2019?

Kerajaan negeri Selangor tidak langsung bersetuju kepada projek ini dan pada pandangan saya, projek ini hanya satu lagi kes anugerah kerajaan pusat Umno-BN kepada kroninya dan mereka menggunakan kononnya bekalan air tidak mencukupi bagi menjayakan projek ini.

Mereka menggunakan isu kekurangan bekalan air di Selangor pada tahun 2000 sebagai asas dakwaan tetapi kita perlu sedar, setiap kali hujan di sini, pasti banjir dan kesemua air hujan hanya dialirkan kembali ke laut. Selangor bukannya kekurangan air, kita kekurangan tapak pemprosesan air dan yang ada perlukan dibaikpulih agar dapat berfungsi dalam keadaan optimum.

Sungai-sungai di Selangor juga tidak dicemari hingga tahap membimbangkan, kita hanya ada satu atau dua sungai yang tercemar ke Tahap 3. Kita boleh menggunakan air sungai dengan syarat melaksanakan proses pembersihan secara berperingkat

Untuk menambah bekalan air, saya ingin cadangkan kerajaan negeri untuk menggunakan bekas lombong kerajaan Umno-BN Selangor dahulu sebagai tapak pengumpulan air kerana terdapat banyak sekali bekas lombong yang dipenuhi air yang tidak digunakan langsung.

Kaedah aternatif ini pasti cukup untuk memastikan bekalan air jauh daripada mencukupi untuk negeri Selangor.

Saya ingin menambah bahawa saya menyokong kenyataan MB bahawa bekalan air cukup hingga 2019, dan saya merasakan tiada masalah langsung dengan bekalan air di Selangor.

MB ada memberikan cadangan di mana beliau menyatakan daripada membazirkan RM40 bilion, kita hanya perlu belanjakan RM2 bilion untuk sistem pembersihan dan baikpulih sistem sediakala untuk memberikan bekalan yang setanding dengan projek mega itu. Apa yang beliau ingin katakan ialah melalui pelaburan dan perlaksanaan yang sistematik dan bijak, pembaziran RM40 bilion dapat dielakkan.

Berkenaan isu pasir, kini kita dapati pemimpin Umno-BN bertanding dalam parti mereka menggunakan isu pasir sebagai bola untuk ditendang sesama mereka. Apa pandangan berkenaan senario ini?

Saya hanya ingin katakan satu sahaja bahawa usah pedulikan mereka. Walau bagaimana sekalipun permainan politik dan propoganda Umno-BN, di pemikiran rakyat Selangor sudah ada satu ‘mindset’ bahawa juara curi pasir ini Umno-BN, jika bukan Datuk Seri Dr Khir Toyo, maka Datuk Seri Noh Omar.

Ia berlegar-legar di kalangan Umno-BN sahaja. Biarkanlah mereka terjun bersama labu-labu mereka kerana kita kini tidak perlu menerangkan apa-apa lagi kepada rakyat kerana mereka faham.

Daripada maklumat yang saya dapat, ceramah anjuran Umno-BN hanya dihadiri oleh kira-kira 300 orang. Umno-BN ini seperti menepuk air didulang, isu itu adalah sesuatu yang tidak patut dipolitikkan tetapi kerana bergaduh sesama mereka, mereka menggunakan medium pasir.

Tetapi, yang menang dalam perlumbaan ini ialah rakyat Selangor kerana KSSB kerana pada bulan lalu kita dapati satu peningkatan yang cukup luarbiasa dari penjualan pasir dan ini merupakan sesuatu yang menggembirakan.

Peningkatan ini menunjukkan para meniaga pasir kini sudah kenal yang mana pelombong haram dan bertindak meninggalkan penjual pasir haram dan membeli daripada KSSB. Maka dengan keuntungan ini, lebih banyak dana dapat disalurkan ke kerajaan negeri yang akhirnya akan sampai kepada rakyat Selangor.

Rakyat tidak lagi akan termakan hasutan dan propoganda Umno-BN kecuali penyokong-penyokong mereka yang tertutup pemikirannya.

Bagaimana prestasi pentadbiran dan perkembangan semasa kerajaan negeri Selangor secara keseluruhan?

Secara keseluruhanya, kita berjaya membawa perubahan yang besar yang dirasai oleh rakyat dan sedar ada perubahan yang besar di antara kerajaan Umno-BN dahulu dan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor di mana rakyat dapat menikmati manfaat daripada perubahan yang di bawa oleh Pakatan Rakyat Selangor.

Antara perubahan dalam polisi kerajaan negeri yang mendapat perhatian daripada warga Selangor ialah dalam aspek ketelusan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Dahulu dalam kerajaan Umno-BN tiada langsung tetapi hari ini mereka mempunyai akses kepada maklumat kerajaan termasuk akses kepada peruntukan yang diterima oleh Ahli Dewan Negeri Selangor yang mana dahulu sengaja disembunyikan oleh kerajaan Umno-BN.

Keduanya, rakyat dapat melihat sikap kerajaan negeri yang mengambil berat tentang permasalahan yang melanda rakyat negeri Selangor.

Contohnya dalam perkara-perkara kecil yang tidak memerlukan perhatian daripada Menteri Besar, tetapi MB tetap memberikan perhatian khusus untuk membantu menyelesaikannya dan ini dapat dilihat dalam kes yang melibatkan pemberian tanah kepada yang berhak di mana sebelum ini tersangkut atas pelbagai alasan.

Namun begitu, ada juga rungutan dan kita perlu bersikap terbuka kerana kerajaan negeri mengamalkan sikap ketelusan, kebertanggungjawaban dan kecekapan dalam urus tadbir kerajaan negeri, maka kita peka terhadap komen, pandangan dan rungutan rakyat.

Isu berkenaan sampah, longkang dan jalanraya masih kedengaran, dan kerajaan negeri perlu memberi perhatian sebab ini merupakan rungutan yang paling asas dan jika kita tidak mengatasinya, dibimbangi boleh membuatkan rakyat merasa mereka tidak dipedulikan.

Jadi sikap peduli rakyat, peduli masalah rakyat mesti lebih dilipat gandakan oleh kerajaan dan untuk melaksanakannya, mesti melibatkan keseluruhan agensi diperingkat Pejabat Pentadbiran Tanah (PPT) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Jadi secara keseluruhannya walaupun rakyat kini gembira dengan perubahan yang dibawa, tetapi rungutan rakyat ini perlu kita tangani dengan kadar segera.

Selain isu persekitaran, apa rungutan lain yang rasakan perlu ditangani dengan kadar segera oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor?

Kita juga menerima rungutan yang agak lantang dipersuarakan, iaitu pengiktirafan kepada mereka yang telah membantu melakukan reformasi dan menggerakkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Saya rasa kita perlu menganalisa bersama, mengapa mereka tidak begitu gembira.

Secara peribadi, saya lebih suka mengambil rungutan ini sebagai sesuatu yang membina. Saya nampak ada sesetengah pihak cuba untuk mengambil kesempatan daripada kedudukan MB, ahli dewan, ahli parlimen dan sebagainya.

Saya ingin tegaskan bahawa kedudukan kesemua ini bukannya satu keistimewaan, ia merupakan satu tanggungjawab yang berat yang dipikul oleh semua wakil rakyat untuk memastikan hasrat kita untuk mengembalikan hak rakyat dikembalikan.

Maka ini boleh dikategorikan sebagai rungutan dalaman yang boleh diselesaikan dengan syarat semua pihak memahami fungsi dan tanggungjawab masing-masing. Kedudukan MB bukan satu keistimewaan untuk membantu satu golongan sahaja, tidak. Itu merupakan satu amanah, tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan memberikan perhatian penuh kepada pertama, rakyat negeri Selangor dan kedua barulah kepada yang lain secara berperingkat.

Keduanya, ada rungutan daripada peniaga yang terlibat dalam bidang pembinaan merasakan ada sesetengah kes seperti tukar syarat tanah dan sebagainya yang berurusan dengan Pejabat Pentadbiran Tanah(PTT) agak lembab, dan saya rasa kita perlu turun dan bantu menyelesaikan agar persepsi ini dapat dikurangkan.

Ini penting kerana PTT dan PBT adalah ‘frontliner’ dan kelemahan yang paling dekat yang dapat dicuit oleh rakyat. Jika kedua-dua agensi ini tidak dapat melaksanakan tugas dengan berkesan, maka impaknya akan dirasai oleh kerajaan negeri.

[Sumber]

No comments

Powered by Blogger.