Rakyat Diutamakan Dalam Dialog Selangor Blueprint 2011-2013

Oleh Norasikin Samsi

SHAH ALAM 19 Ogos - Kerajaan Negeri Selangor sedang dalam perancangan merangka satu pelan hala tuju atau 'Selangor Blueprint' untuk tahun 2011-2013 yang akan merangkumi pelbagai sektor dan aktiviti sosial serta ekonomi di negeri itu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, bagi tujuan itu satu sesi Majlis Dialog Selangor Blueprint akan diadakan di 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Selangor mulai 21 Ogos ini.

Beliau berkata, perbincangan mengenai belanjawan negeri Selangor bagi tahun 2011 juga akan diadakan dalam program yang sama.

"Saya mahukan agar sesi dialog bersama rakyat ini diadakan di setiap 12 PBT di Selangor," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini semalam.

Abdul Khalid berkata, majlis dialog tersebut diadakan agar kerajaan negeri menerima maklum balas termasuk pandangan dan gambaran masyarakat berhubung belanjawan negeri.

Dengan tema 'Hasil Negeri Untuk Rakyat', sesi dialog bajet 2011 itu juga akan dibuat secara terbuka.

Tambah beliau, dijangka kira-kira 150 peserta akan menyertai sesi dialog tersebut.

"Kita juga menjemput ahli mesyuarat kerajaan negeri (Exco), pembuat dasar kerajaan di peringkat negeri, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor, ahli Dewan Perniagaan, agensi kerajaan, badan berkanun dan pertubuhan bukan kerajaan termasuk juga pemimpin masyarakat seperti ketua kampung, penghulu dan JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung)," katanya.

Sesi Majlis Dialog Selangor Blueprint itu akan diadakan bermula 21 Ogos ini di Majlis Perbandaran Subang Jaya dan berakhir di Majlis Perbandaran Kajang pada 6 September depan.

No comments

Powered by Blogger.