Juruaudit Diarah Pantau Seluruh PBT Selangor

Oleh Norasikin Samsi

SHAH ALAM 19 Ogos - Kesemua 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor berada di bawah pemantauan juruadit berikutan pemecatan Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK), Tee Boon Hock yang dikaitkan dengan pengeluaran surat sokongan untuk mendaptkan kontrak perniagaan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata juruaudit negeri telah mula meneliti laporan terhadap Ahli Majlis yang dipecat berkuatkuasa 6 Ogos lalu.

"Mengaudit kontrak di bawah MPK merupakan satu permulaan dan ini akan meliputi semua PBT," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di sini semalam.

Abdul Khalid berkata, laporan audit untuk MPK akan disiapkan minggu hadapan.

"Mereka (juruaudit) telah memulakan tugas mereka untuk seminggu setengah. Saya diberitahu laporan hampir siap sekarang ini dan minggu depan saya akan membuat pengumuman tentang MPK," jelas beliau lagi.

Menurut Menteri Besar, sebelum ini tugas mengaudit kontrak adalah diwajibkan untuk memastikan sama ada surat sokongan yang dikeluarkan mempengaruhi proses membuat keputusan.

Namun, katanya Ahli Majlis, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen belum memutuskan sama ada untuk memansuhkan penggunaan surat sokongan walaupun ahli politik luar dan dalam parti mendakwa surat tersebut menggalakkan rasuah.

"Hari ini, kerajaan negeri sekali lagi menegaskan bahawa mereka tidak akan menolak penggunaan surat sokongan kerana merasakan ia bukan mudah untuk dilaksanakan.

"Bagaimanapun, kami membuat cadangan kepada Ahli Majlis, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen supaya tidak bebas mengeluarkan surat tersebut kerana kami merasakan surat sokongan itu tidak memberi kesan dalam proses membuat keputusan," katanya.

Ketika disoal pemberita mengapa kerajaan negeri tidak mansuhkan sahaja surat sokongan itu, Abdul Khalid berkata, "kami tidak mahu mengetatkan syarat kerana kami rasa bukannya mudah untuk dilaksanakan".

Boon Hock yang juga bekas pegawai khas Exco kerajaan negeri dipecat daripada jawatannya sebagai Ahli Majlis kerana didapati telah melanggar etika dalam mengeluarkan surat sokongan untuk mendapatkan kontrak perniagaan termasuk untuk syarikat milik anaknya.

No comments

Powered by Blogger.