Bekalan Makanan Mampu Bertahan 10 Hari Jika Banjir Serentak Di Kelantan - JKM

KOTA BAHARU, 5 Nov (Bernama) -- Stok makanan yang disimpan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan untuk mangsa banjir mampu menampung keperluan selama 10 hari jika bencana itu melanda serentak di seluruh negeri.

Pengarahnya Mohd Noor Chik berkata stok makanan itu dibeli dengan peruntukan fasa pertama berjumlah RM100,000.

"Berdasarkan peruntukan yang disediakan, kita beri jaminan tidak akan hadapi masalah untuk bantu mangsa banjir dalam menyediakan bekalan sekurang-kurangnya untuk tempoh 10 hari," katanya kepada Bernama, pada hari Jumaat.

Beliau diminta mengulas mengenai persediaan JKM bagi menghadapi banjir pusingan kedua yang lazimnya menyusul tidak lama selepas keadaan bah pusingan pertama pulih.

Katanya buat masa sekarang JKM dalam proses membeli bekalan tersebut bagi menghadapi kemungkinan banjir susulan.

"Kami juga segaja tidak menyimpan stok bekalan berlebihan kerana dikhuatiri rosak atau luput tarikh apabila ia tidak habis digunakan. Kerana ini juga JKM mengambil langkah melakukan simpanan secara berhemah," katanya.

Mohd Noor berkata berdasarkan prosedur yang diputuskan mesyuarat jawatankuasa bencana alam negeri, peruntukan bantuan diagihkan kepada mangsa menerusi tiga fasa.

Fasa pertama akan dikendalikan oleh jawatankuasa banjir jajahan yang dipengerusikan ketua jajahan maasing-masing apabila banjir melibatkan tiga jajahan ke bawah.

Bagi fasa kedua pula, ia dikendalikan oleh jawatankuasa bencana alam negeri yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) apabila banjir melanda lebih daripada tiga jajahan.

"Di bawah fasa kedua ini, Bilik Gerakan Banjir negeri yang terletak di pusat pentadbiran kerajaan negeri SUK akan dibuka 24 jam.

"Manakala fasa ketiga jawatankuasa bencana alam negeri akan meminta bantuan peringkat pusat iaitu Majlis Keselamatan Negera (MKN) apabila keadaan banjir negeri sampai di peringkat tidak terkawal (darurat)," katanya.

No comments

Powered by Blogger.