Siapa bakal menikmati keuntungan daripada Jambatan P. Pinang kedua?

Ramli Abdul Samad

Apabila siap nanti pembinaan Jambatan Pulau Pinang Ke-2 (JPPK2), pemilik konsesinya akan seronok sakan kerana dapat mengutip tol bagi satu tempoh yang lama, hampir setengah abad iaitu selama 45 tahun. Maklumat ini diperolehi dari sumber laporan tahunan Lembaga Lebuhraya Malaysia 2008 (Malaysia Highway Authority annual report 2008).

JPPK2 akan menghubungkan tanah besar Seberang Perai dari Batu Kawan ke Batu Maung di Pulau Pinang. Panjangnya jambatan ini pada atas air adalah 17km tetapi jika diambil kira bila ia dihubungkan kepada Lebuhraya Utara-Selatan, jaraknya menjangkau kepada 23.5 km.

Jarak Jambatan Pulau Pinang di atas air adalah sekitar 8km, sementara jarak cadangan sebuah jambatan lagi bagi menghubungi Melaka dengan Sumatera adalah dalam lingkungan 52 km.

Cadangan membina JPPK2 bermula pada Ogos 2006 oleh kerajaan persekutuan dan perkara ini didokumentasikan di dalam Rancangan Malaysia Ke-9. Semasa pada peringkat cadangan pun sudah muncul beberapa polemik dan bantahan, antaranya :

1. Pembinaannya dihujah sebagai tidak mungkin boleh mengatasi masalah kesesakan lalulintas yang sedang dialami Pulau Pinang buat masa ini. Saat ini, laluan ketiga pada Jambatan Pulau Pinang tidak mungkin dapat mengurangkan kesesakan dalam tempoh beberapa tahun mendatang ini. Penambahan kenderaan persendirian tanpa had terus-menerus meningkat, sedangkan lebar jalanraya sedia ada di Pulau Pinang seperti Jalanraya Green Lane atau Scotland Road tidak mungkin dapat dilebarkan secara signifikan.

Kerajaan disarankan yang ia harus sebaliknya membangunkan pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh daripada membelanjakan bajet besar itu terhadap sebuah infrastruktur jambatan bagi kemudahan berjuta kenderaan persendirian.

2. Katakan JPPK2 ini siap dan caj tolnya sudah tentu lebih daripada RM7 seperti yang dikenakan pada Jambatan Pulau Pinang sekarang. Ada cadangan untuk menetapkan caj tol bagi jarak 22-24 kilometer ini nanti sebanyak RM9.40. Soalnya, berapa ramai orang pemandu akan menggunanya?

Bagi jarak yang hampir dua kali ganda panjang berbanding Jambatan Pulau Pinang, rata-rata seseorang yang kerap menggunakan jambatan kedua ini akan menghabiskan sejumlah RM500 sebulan. Ini sudah tentunya satu bahagian besar dalam belanjawan bulanan seseorang itu.

3. Kos pembinaan Jambatan Pulau Pinang menelan belanja hampir RM1 bilion. Kos JPPK2 telah meningkat mulai pada Julai 2007 sebanyak RM2.7 bilion, naik kepada RM3 bilion pada Oktober/November 2007, naik lagi sebanyak sehingga RM4.995 bilion! Dari mana hendak memperolehi sejumlah hampir RM5 bilion itu?

Kini kos tambahan kepada struktur jambatan kedua ini bagi menangani kemungkinan terjadinya gempa bumi akan melonjakkan lagi kos keseluruhan pembinaan jambatan berkenaan. Sehingga kini, kos keseluruhan pembinaan akan melibatkan pecahan:

* RM4.5 bilion bagi kos pembinaan
* RM110 juta bagi kos pengambilan semula tanah
* RM100 juta bagi kos pampasan, dan
* RM285 juta bagi kos pembangunan


4. Pembinaan JPPK2 boleh menjejaskan pendapatan tidak kurang daripada 1,500 nelayan pantai dan pengusaha akuakultur di daerah selatan-timur Pulau Pinang kerana akibat dari tembus tanah yang terpaksa menyusuli proses pembangunan jambatan berkenaan.

5. Kerajaan disaran membina banyak lagi pengangkutan ala feri bagi menghubungi banyak poin antara Pulau Pinang dan daratannya, jangan hanya focus pada George Town dan Butterworth. Lihat contoh negara Thai yang mana banyak feri menghubungi banyak kota raya kecilnya dengan Bangkok. Ia mengguna sepenuhnya pengangkutan air melalui feri atau bot-bot seumpamanya. Kaedah ini lebih lestari.

6. Soalnya adalah lebih baik wang sebanyak RM4.5 bilion itu digunakan bagi memperbaiki pengangkutan awam atau membina banyak lagi rumah murah berkualiti bagi rakyat Pulau Pinang. Ramai rakyat Pulau Pinang kini tidak mungkin boleh membeli sebuah rumah sederhana yang selesa kerana harga rumah bagi semua kategori telah melambung sejak akhir-akhir ini.

Bagaimanapun, mengikut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nor Mohamed Yakcop Nor Mohamed, projek jambatan ini sedang berjalan dan akan siap pada November 2013. Kontrak besarnya diberikan kepada China Harbour Engineering (CHEC) milik negara Cina dan United Engineers Malaysia Bhd (UEM) milik Malaysia. Konsesi yang diberi adalah kepada sebuah syarikat Jambatan Kedua Sdn Bhd, sebuah unit yang disarankan oleh Kementerian Kewangan.

Bagi pakej pertama yang bertanggungjawab dalam pembinaan dan reka bentuk struktur asas jambatan kedua ini akan dikendalikan oleh CHEC, dijangka akan memperolehi sebanyak RM2 bilion dan bagi pakej kedua yang melibatkan penyiapan pembinaan struktur jambatan itu akan dipertanggungjawabkan oleh sebuah syarikat yang ada hubungan dengan kerajaan atau GLC mungkin diberi kepada syarikat UEM yang akan menerima sekitar RM1.5 bilion.

Mengikut Sim Tze Tzin Adun Pantai Jerejak Pulau Pinang pada pertengahan tahun ini, UEM telah memohon bantuan kewangan sebanyak RM22 bilion untuk membina jambatan yang menelan belanja RM4.5 bilion. UEM telah memohon tol Jambatan Pulau Pinang dinaikkan kepada RM9.40 sehingga ke caj maksimum sebanyak RM11.50 dan struktur harga ini akan dikekalkan sehingga tahun 2051, maknanya UEM mungkin mengutip bayaran tol sehingga 2051 berjumlah RM7 bilion. Ini satu lagi kes yang mana kerajaan pusat memberi bantuan dan laluan mudah kepada syarikat UEM.

Namun tidak dinafikan juga usahawan bumiputera Pulau Pinang akan menikmati bahagian kecil dari projek RM4.5 bilion itu. Mereka akan menerima RM175 juta bagi kerja-kerja kontrak JPPK2 dan juga bagi menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas. Syarikat Jambatan Kedua Sdn Bhd bersetuju menawarkan kontrak bernilai RM100 juta kepada para usahawan bumiputera. Namun bahagian besar tetap milik syarikat seperti UEM.

No comments

Powered by Blogger.