Beri Rajagobal Masa Untuk Bentuk Pasukan Kebangsaan, Kata Kelly Tham

KOTA KINABALU, 17 Nov (Bernama) -- Bekas jurulatih pasukan Sabah Kelly Tham berpendapat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu memberikan masa yang mencukupi kepada jurulatih skuad bola sepak negara K.Rajagobal untuk membina sebuah pasukan yang mantap, yang mampu menempa nama di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata walaupun kalah kepada pasukan hebat Asia seperti Jepun, Iran dan China dalam Sukan Asia di Guangzhou, Malaysia mempamerkan semangat juang yang mantap semasa berhadapan dengan pasukan-pasukan itu.

Bekas jurulatih yang menjadi tokoh utama dalam membimbing Sabah memenangi Piala FA pada 1995 berkata pasukan negara juga menampilkan persembahan yang cukup memberangsangkan semasa menewaskan Kyrgyzstan 2-1 dalam saingan Kumpulan A.

Katanya beliau yakin Rajagopal, yang menerajui pasukan Malaysia untuk memenangi pingat emas dalam Sukan SEA baru-baru ini, akan dapat membangunkan sebuah pasukan bola sepak yang mantap dalam masa dua tahun lagi.

"Pertukaran jurulatih yang kerap tidak akan berkesan. Kejayaan takkan datang dengan pantas, adakalanya ia mengambil masa bertahun-tahun lamanya," katanya kepada Bernama di sini pada Rabu.

Beliau yang menyuarakan sokongan kepada jurulatih tempatan untuk membimbing pasukan bola sepak negara berkata, budaya Malaysia berbeza daripada lain-lain negara, dan adalah lebih mudah bagi jurulatih tempatan untuk membimbing pasukan negara.

"Perlu beri peluang kepada jurulatih tempatan yang faham dengan budaya tempatan untuk melatih pemain negara, dan menyemai kejayaan dalam pertandingan-pertandingan bola sepak peringkat antarabangsa," katanya.

Malaysia pernah melayakkan diri ke Sukan Olimpik pada tahun 1980 selepas menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam perlawanan kelayakan, namun persembahan bola sepak negara pada tahun-tahun kemudiannya mulai hambar.

No comments

Powered by Blogger.