Henjutan Kamikaze - Senjata Mohd Azizulhasni Raih Emas

From Zulhilmi Supaat

GUANGZHOU, 17 Nov (Bernama) -- Pelumba sensasi negara, Mohd Azizulhasni Awang mengaku beliau hampir berputus asa selepas gagal merangkul pingat emas dalam acara kegemarannya, pecut 200m perseorangan, pada Sukan Asia ke-16 di sini pada Rabu.

"Saya merasa lesu, marah dan tertekan kerana tidak dapat mencapai pingat emas yang diharapkan dalam acara pecut 200m sebelum acara Keirin.

"Namun saya kuatkan semangat dan memaklumkan kepada jurulatih, John Beasley, bahawa saya mahu melakukan aksi 'Kamikaze' (berani mati) dalam acara Keirin," katanya kepada pemberita selepas meraih pingat emas acara itu di Velodrom Guangzhou di sini.

Kejayaan Mohd Azizulhasni itu lebih manis apabila berkongsi dengan rakan sepasukan Josiah Ng yang mendapat pingat perak sementara gangsa milik pelumba China, Zhang Mao.

Mohd Azizulhasni, yang digelar `The Pocket Rocketman' itu, mengotakan janjinya untuk melakukan pecutan 'Kamikaze' dengan mengetuai kelompok enam pelumba yang terdiri daripada dua dari China (Zhang Lei, Zhang Mao), Kazunari Watanabe (Jepun) dan Muhammad Parash (Iran) dalam acara akhir sebanyak lapan pusingan itu.

Hanya selepas empat pusingan barulah pelumba Malaysia itu memberi ruang kepada Zhang Lei dan Muhammad untuk berada di hadapannya.

Namun Zhang Lei kemudian tergelincir dan terjatuh menyebabkan pelumba Iran terlanggarnya.

Kesempatan ini digunakan oleh Mohd Azizulhasni dan Josiah untuk memecut ke hadapan untuk mencapai kemenangan satu-dua.

Mohd Azizulhasni berkata dia tahu mengenai kemalangan itu tetapi terus menggandakan henjutan bila mendapati ruang untuk meraih pingat terbuka luas.

Josiah berkata kemenangan satu-dua itu membuktikan mereka adalah terbaik di Asia, sekaligus menafikan insiden dalam acara Keirin yang berlaku di Sukan Komanwel di New Delhi pada bulan lepas.

Dalam insiden tersebut, Mohd Azizulhasni dan Josiah yang berkedudukan satu-dua sepatutnya mendapat emas dan perak namun kemenangan pelumba dari Terengganu itu dibatalkan atas alasan dia terkeluar dari garisan pada pusingan akhir.

Emas kemudian diberikan kepada Josiah.

Biarpun gembira dengan kemenangan hari ini, Josiah mengutarakan satu persoalan.

"Siapakah yang akan mewakili Malaysia di Sukan Olimpik London 2012 dalam acara Keirin kerana setiap negara yang layak, hanya boleh menghantar seorang pelumba sahaja," soalnya.

Jurulatih Beasley berkata beliau lega dengan pencapaian itu selepas agak bimbang dengan ketandusan pingat sejak acara trek bermula Sabtu lalu.

Sementara itu, ketua kontinjen negara Datuk Zolkples Embong berkata kemenangan dua pelumba negara itu membuktikan pasukan Keirin negara adalah terbaik di Asia.

"Saya jangka Malaysia mampu meraih lebih emas dalam acara trek sekiranya penganjur tidak menghimpunkan semua acara akhir pada hari yang sama," katanya.

Mengikut amalan biasa, katanya, acara pecut dan Keirin diasingkan selang beberapa hari bagi membolehkan pelumba mendapat rehat yang secukup.

No comments

Powered by Blogger.