Jangan memanipulasikan isu Yayasan Selangor

KLANG, 18 Nov - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selat Klang, Dr Halimah Ali mengingatkan pihak-pihak tertentu supaya tidak memanipulasikan isu membabitkan Yayasan Selangor dan membuat kenyataaan sesuka hati sebelum mendapat maklumat tepat dan sahih.

Beliau yang juga Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan berkata, isu membabitkan Yayasan Selangor yang didakwa menganjurkan majlis makan tengah hari dengan kos melebihi RM300,000 tidak harus dipolitik dan disensasikan demi kepentingan sesetengah pihak.

“Saya nak ingatkan semua pihak, sekiranya ada berita-berita atau isu-isu sensasi yang sengaja dipolitikkan oleh mana-mana pihak, mereka harus mendapatkan maklumat yang tepat daripada sumber yang sahih sebelum ia dikupas sama ada ia betul atau tidak,” katanya.

Menurut beliau, isu terbabit tidak harus dipolitikkan kerana ia hanya akan menguntungkan pihak tertentu dan menimbulkan masalah kepada pihak lain, terutama Yayasan Selangor.

“Jadi kepada mana-mana pihak yang mungkin terdengar tentang isu-isu Yayasan Selangor, mereka harus dapatkan maklumat yang tepat sebelum membuat sebarang spekulasi,” ujarnya.

Dr Halimah berkata demikian dalam temu bual bersama SelangorKini ketika ditemui selepas Majlis Qurban Asrama Yayasan Selangor di sini hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham Marzuki.

Sebelum ini, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memutuskan majlis makan tengah hari sempena ulang tahun ke-40 agensi negeri itu yang sepatutnya diadakan pada 15 November lepas, dibatalkan dan mengarahkan satu siasatan dijalankan ekoran dakwaan ia membabitkan kos RM300,000.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga memutuskan untuk tidak hadir kerana dukacita setelah dimaklumkan mengenai perbelanjaan itu.

Manakala, Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Noh Omar mendakwa, lebih RM800,000 telah dibelanjakan untuk menganjurkan majlis tersebut.

No comments

Powered by Blogger.