Kelantan Anggar Bajet Defisit RM53.24 Juta Tahun Depan

KOTA BAHARU, 9 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Kelantan dijangka mengalami bajet defisit RM53.24 juta pada tahun depan dengan perbelanjaan mengurusnya dianggarkan berjumlah RM464.13 juta berbanding anggaran hasil RM410.89 juta.

Defisit itu merupakan yang tertinggi dalam tempoh tiga tahun pentadbiran kerajaan Pas Kelantan kerana pada tahun 2010 defisitnya berjumlah RM29.50 juta manakala defisit bajet 2009 berjumlah RM20.20 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Datuk Husam Musa berkata bajet 2011 bertemakan "Bajet Penyayang" dengan anggaran hasil RM410.89 juta telah menunjukkan peningkatan berbanding anggaran hasil tahun 2010 yang berjumlah RM387.38 juta.

"Namun kenaikan berkenaan masih tidak dapat menampung kenaikan perbelanjaan mengurus dan telah menyebabkan peningkatan defisit berbanding tahun 2010," katanya ketika membentangkan bajet negeri tahun 2011 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan penggal ketiga, di sini hari Selasa.

Pembentangan bajet itu sepatutnya dibentangkan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetapi digantikan oleh Husam.

Husam berkata anggaran hasil tahun 2011 itu meliputi hasil cukai sebanyak RM86.64 juta, hasil bukan cukai sebanyak RM217.49 juta, sementara terimaan bukan hasil sebanyak RM106.76 juta.

Beliau berkata hasil tanah akan menjadi penyumbang terbesar dengan jumlah RM107.21 juta atau 35.10 peratus daripada keseluruhan jumlah hasil. Perhutanan menyumbang sejumlah RM144.21 juta atau 26.09 peratus daripada keseluruhan jumlah hasil.

Husam berkata kerajaan akan memperuntukkan RM4 juta untuk mengadakan paip sambungan bekalan air dari saluran utama ke kampung-kampung yang memerlukan bekalan air bersih selain melaksanakan sistem tender terbuka bagi peruntukan kerajaan persekutuan dalam meningkatkan bekalan air bersih yang bernilai RM445 juta sejak 2001 lagi.

Beliau berkata dalam mengurangkan gejala sosial seperti berzina dan buang bayi, kerajaan menyediakan RM1.5 juta untuk pasangan yang kurang pendapatan agar dapat berkahwin melalui "gerbang Az-Ziwaaj".

Katanya sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan untuk Skim Al-Itt'aam untuk menyediakan bantuan makanan ruji berupa beras kepada kumpulan masyarakat daif dan miskin.

Husam berkata kerajaan negeri juga merangka tiga strategi dalam bajet tahun depan iaitu penjanaan ekonomi untuk semua rakyat; pembinaan insan yang berteras Islam; dan pembelaan golongan daif dan miskin, orang kurang upaya, armalah atau ibu tunggal, warga emas dan wanita.

No comments

Powered by Blogger.