Raja Muda Perlis Mahu Projek Tangani Bencana Diberi Keutamaan

KANGAR, 9 Nov (Bernama) -- Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu supaya projek menangani masalah bencana alam seperti banjir diberi keutamaan oleh pihak berwajib supaya bencana itu tidak berulang demi keselesaan rakyat.

Titah baginda projek bagi mengatasi masalah itu sudah sekian laman dirancang tetapi belum disenaraikan untuk dilaksanakan bagi Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), sedangkan banjir besar berulang.

Baginda bertitah demikian pada program khidmat korporat Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di pusat pemindahan banjir Sekolah Kebangsaan Sena dekat sini Selasa.

Sempena program itu 200 kakitangan UniMAP yang diketuai Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin menyertai gotong royong membersihkan kawasan Sekolah Kebangsaan Sena yang menjadi pusat pemindahan bagi hampir 200 mangsa banjir.

Mangsa banjir turut menerima sumbangan hamper yang disampaikan oleh Raja Muda Perlis pada program itu.

Baginda yang juga Yang Dipertua Yayasan Tuanku Syed Putra turut menyampaikan 10,000 botol air mineral sumbangan yayasan itu kepada UniMAP untuk diagih kepada mangsa bencana banjir.

Pada majlis itu, UniMAP turut menerima sumbangan RM14,000 yang disumbangkan oleh Bank Muamalat dan Bank Rakyat serta empat syarikat tempatan bagi mengisi Tabung Bencana UniMAP.

Turut berangkat ke program itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

No comments

Powered by Blogger.