Notis rasmi belum diterima, Zaid masih dalam saingan

Oleh Fazy Sahir

PETALING JAYA: Calon timbalan presiden Datuk Zaid Ibrahim masih dalam saingan untuk jawatan tersebut memandangkan sebarang notis rasmi belum diterima oleh pihak Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).

Demikian menurut Timbalan Setiausaha Agung PKR, Sharifah Shahidah Syed Kamarulzaman bahawa pihaknya masih belum menerima sebarang notis itu walaupun Zaid sudah membuat pengumuman berhubung penarikannya melalui blog awal pagi ini.

Shahidah berkata, jika notis itu diterima maka pihak JPP akan mengadakan mesyuarat lanjut bagi membincangkan perkara itu.

"Kami belum menerima notis rasmi daripada beliau (Zaid). Bila sudah terima, pihak JPP akan mengadakan mesyuarat dan selanjutnya membuat keputusan mengenai hal ini.

"Selagi Zaid masih belum menghantar notis, beliau masih dalam persaingan dalam merebut jawatan nombor dua itu," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Zaid tetap tegas

Namun menerusi laporan FMT hari ini, Zaid tetap bertegas untuk tidak menghantar notis rasmi kepada pihak parti.

Zaid yang juga Ketua PKR Wilayah Persekutuan membuat kejutan apabila membuat pengumuman menarik diri daripada bertanding jawatan berkenaan.

Zaid yang nyata kecewa dengan parti turut mengumumkan bahawa beliau meletakkan semua jawatannya dalam PKR.

Melalui keputusan tidak rasmi diterima FMT, setelah 87 cabang yang selesai membuat pemilihan, Azmin memperoleh 6,496 undi.

Zaid dengan 3,974 undi, manakala Mustaffa masih bergelut untuk menempatkan diri bersama dua pesaing lain dengan hanya memperoleh 1,240 undi.

Azmin masih mendahului Zaid dengan majoriti 2,522 undi dalam perebutan jawatan timbalan presiden tersebut.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail yang sepatutnya mengendalikan sidang media itu turut tidak kelihatan dan menimbulkan tanda tanya oleh pihak media.

sharifah-shahidah-TSUA-PKRNamun menurut Sharifah, Saifuddin kurang sihat kerana mengalami demam sejak semalam.

Kecewa dengan keputusan Zaid

Dalam pada itu, FMT turut menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) dan telefon daripada ahli parti, individu mahupun pemerhati politik yang nyata kecewa dengan keputusan Zaid itu.

Menurut pemanggil yang hanya dikenali sebagai ‘penyokong’ Zaid, menyifatkan Zaid sebagai ahli parti yang lantang dalam membuat keputusan dan perubahan.

Katanya, Zaid satu-satunya calon yang berani tampil ke hadapan untuk mencabar Azmin yang dianggap mendapat sokongan kuat Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Zaid mampu mendahului Azmin namun selepas apa yang dilaporkan hari ini saya kecewa dengan keputusan itu," kata pemanggil itu kepada FMT.

Izzah mendahului pemimpin senior

Sementara itu, bagi pertandingan jawatan naib presiden, ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar mendahului pesaing lain dengan memperoleh 4,845 undi.

Keputusan rasmi ini berdasarkan 78 cabang yang selesai membuat pemilihan memandangkan sembilan lagi cabang termasuklah Kota Kinabalu, Sandakan, Libaran, Pasir Mas, Sepanggar, Putatan, Sipitang, Beluran dan Tawau yang belum memberi keputusan rasmi kepada pihak pusat.

Turut mengekori rapat Izzah, Pengarah Strategik PKR Tian Chua (3,933), Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Dr Mansor Othman (3,552) dan Pengarah Pilihan Raya Fuziah Salleh dengan 3,370 undi.

Calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin pula masih didepan dengan 1,455 undi manakala pesaing tunggal, Chegu Bard memperolehi 1,428 undi.

Sementara bagi jawatan Ketua Wanita, Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin unggul di depan dengan 1,568 undi. Kedua-dua pesaingnya, Animah Ferrar mendapat 489 dan Suraya Sudin (570).

No comments

Powered by Blogger.