PKR pandang berat aduan "politik wang dan penipuan" di Sri Aman

Oleh Fazy Sahir

PETALING JAYA: Setiausaha Pengelola Pemilihan PKR Radin Shamsul Kamar berkata pihaknya memandang berat aduan wujudnya "politik wang dan penipuan" ketika berlangsungnya pemilihan di cabang Sri Aman Ahad lalu.

"Siasatan masih dijalankan dan jika aduan itu benar, tindakan tegas akan diambil termasuk membatalkan keputusan di cabang tersebut," kata beliau kepada FMT hari ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan akan membatalkan kelayakan calon yang bertanding dalam mana-mana jawatan.

"Selain daripada calon-calon yang bertanding, para pegawai dan pengawas pemilihan juga akan diambil tindakan jika terbukti mereka terlibat," ujar beliau.

FMT pada Selasa lalu, melaporkan pemilihan pusat telah dijalankan dirumah pengerusi Jimmy Donald dan 30 anggota hadir untuk mengundi.

Timbul tanda tanya

Setelah selesai pengundian dijalankan, Jimmy yang juga calon ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) memperoleh 450 undi, sekaligus menimbulkan tanda tanya di kalangan anggota yang hadir.

Anggota PKR di cabang itu mendakwa wujud ‘politik wang dan penipuan’ ketika pemilihan berlangsung dan mereka mempersoalkan kesahihan pemilihan pada Ahad lalu.

"Pasti ada sesuatu yang tidak kena berlaku. Kami mahu ibu pejabat segera menyiasat hal ini tanpa melengah-lengahkan lagi, kerana ia akan mencemar imej parti," kata anggota parti itu.

Ini bukan pertama kali laporan dibuat berikutan terdapat lapan pengundi dikesan dari kalangan ahli DAP yang turut mengundi ketika Mesyuarat Agung Tahunan Cabang.

Dalam pemilihan itu, Jimmy Donald berjaya mempertahankan kedudukannya sebagai Pengerusi PKR Cabang Sri Aman selepas memperolehi 84 undi dengan menewaskan pesaingnya, Ibi Uding yang mendapat 76 undi dan seorang lagi calon mendapat 10 undi.

Uding yang juga Ketua Wanita PKR negeri berkata, beliau mempertikaikan kesahihan mereka sebagai ahli PKR untuk mengundi dalam pemilihan tersebut.

Menurutnya, lapan ahli DAP itu dipercayai mengundi untuk Jimmy dan dibawa oleh anaknya Leon Jinat Donald, yang juga ahli DAP Sri Aman.

No comments

Powered by Blogger.