Soi Lek vs Nor Deris

Keropok Lekor

Sekali lagi nampaknya Presiden MCA cuba menyalakan api perkauman dan keagamaan yang sempit. Mula-mula main api, tidak mustahil suatu hari nanti jika dibiarkan mungkin akan cuba membakar pula.

Apa yang sibuk sangat dengan kedai tutup di Kelantan. Banyak lagi negeri-negeri lain kedai-kedai orang Islam dan bukan Islam tutup pada perayaan Aidil Adha. Apa yang pelik? Nampak seolah-olah persoalan yang ditimbulkan seperti ada agenda tertentu sahaja.

Mungkin bagi pemimpin Umno dan penyokong kuatnya seperti Nor Deris, kenyataan Presiden MCA itu tidak pelik tetapi betul. Mereka berpendapat berkawan dengan MCA lebih baik daripada berkawan dengan DAP dan PKR.

Tian Chua awal-awal lagi menyelar persoalan biadap dan tidak peka Presiden MCA berkenaan. Kalau difikirkan dengan akal waras, lebih baik berkawan dengan Tian Chua daripada berkawan dengan Soi Lek. Besar kemungkinan DAP juga tidak bersetuju dengan kenyataan Presiden MCA berkenaan.

Pada pilihan raya kecil Galas baru-baru ini seorang ustaz Umno cukup keras mengkritik PAS kerana berkawan dengan DAP. Tiada masalah mengkritik tetapi kenapa perlu biadap? Begitu juga dengan Presiden MCA, tidak mengapa jika beliau benar-benar tidak tahu tetapi kenyataannya sebelum ini menunjukkan bahawa beliau ada agenda tertentu. Kesimpulannya, kedua-duanya biadap.

Apa yang tidak kena dengan perayaan umat Islam, kedai tutup dan majlis tempatan? Kemungkinan Soi Lek mempersoal dari sudut pandangan ‘kasyaf’nya. Semua yang berlaku adalah menunjukkan Umno gagal membimbing pemimpin bukan Islam dalam gabungannya untuk memahami dan menghormati Islam. Dengan bahasa lebih mudah kerjasama MCA dan Umno sebenarnya sesuatu yang tidak jelas dan penuh kepura-puraan sehinggakan salah satunya sanggup mempersoalkan sensitiviti yang satu lagi secara terbuka.

Lebih baik Soi Lek kerap memandang cermin dan perbaiki diri sendiri daripada mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan. Jika Ustaz Nor Deris sayangkan MCA, cepat-cepatlah tegur Presiden ini kerana ia mampu menjadi duri dalam daging bagi Umno.

Keropok Lekor,

Terengganu.

No comments

Powered by Blogger.